Naratif PH Menipu Rakyat, Salahkan Orang Lain Walaupun Silap Sendiri


REMBAU, 8 April – Tuduhan negara bankrap di bawah pentadbiran kerajaan lama, memanipulasi angka rasmi hutang negara serta ketiadaan dasar dan hala tuju yang jelas telah menyebabkan pelabur hilang keyakinan kepada polisi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, disebabkan faktor-faktor tersebut ekonomi negara semakin merudum sejak sepuluh bulan PH mentadbir, tegas Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Apa yang berlaku selepas Mei 2018? Nilai saham jatuh sehingga dikhabarkan hampir RM280 bilion, ada satu hari lebih daripada RM1.4 bilion pelabur-pelabur luar keluarkan duit dari pasaran saham Bursa Malaysia dan kita pernah kehilangan RM38 bilion nilai saham oleh pelabur-pelabur asing keluar dari Bursa Malaysia.

“Ini sebab banyak saham-saham jatuh. Sebab itulah bila berlaku seperti ini Khazanah Nasional rugi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rugi termasuklah Tabung Haji rugi. Tetapi cara Pakatan Harapan dia buat cerita dengan menipu, dia kata ini semua kesalahan kerajaan lama, ini naratif dia,” bidas Dr Asyraf di ceramah pentas Pemuda di FELDA Sendayan, di sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pemuda MIC Pusat, Thinalan T Rajagopalu; Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong Siaw Ting dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam kesibukan jadual berkempen turut mengambil kesempatan hadir serta memberi ucapan.

Terbaharu tambah Ketua Pemuda UMNO itu lagi, PH menuduh kehilangan pendapatan sebanyak RM10 bilion disebabkan pengurusan lama.

“Tabung Haji bukan baru, Tabung Haji ini bukan syarikat. Tabung Haji ini badan berkanun ada aktanya, Akta Tabung Haji. Tabung Haji diaudit tiap-tiap tahun oleh Jabatan Audit Negara. Tabung Haji wajib melaporkan kewangannya di Parlimen.

“Takkanlah kalau ada penipuan kita tak pernah dengar adanya Jabatan Audit Negara menegur atau mengatakan ada berlakunya penipuan terhadap sistem kewangan Tabung Haji. Pernah kita dengar?

“Kalaulah Jabatan Audit Negara ini menipu kita minta Jabatan Audit Negara ubah semua laporan-laporan yang dibentangkan di Parlimen, yang kononnya kalau mengikut cerekarama yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini dia kata pengurusan lama menipu, memanipulasi akaun dan macam-macam,” katanya.

Dr Asyraf turut membidas kenyataan-kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan keluhan pendeposit mengenai dividen yang diperoleh.

“Tidak pernah kita terpikir Hibah kita hanya 1.25 peratus. Dulu tak pernah rugi dan hari ini keluar pula kenyataan seolah-olah Tabung Haji ini untuk orang yang nak menyimpan pergi haji. Siapa yang nak melabur untung lebih, lebih baik pergi ke Amanah Saham Bumiputera (ASB), simpan di tempat lain. Ini satu kenyataan yang langsung tidak bertanggungjawab.

“Akta Tabung Haji menerangkan dengan jelas matlamat Tabung Haji yang utama ada dua. Pertama, menguruskan simpanan orang-orang yang mahu pergi haji termasuklah menguruskan hal ehwal orang yang mahu menunaikan haji.

“Yang kedua, urusan pelaburan. Sebab itulah Tabung Haji ini ramai yang tidak sedar ia model yang terbaik yang tidak pernah ada di mana-mana negara,” jelas bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu lagi. – MediaUMNO