‘Flash Mob’ Anak Muda Rantau, Referendum Tolak Pakatan Harapan

 

REMBAU, 7 April – Anak-anak muda Rantau hari ini membuat ‘flash mob’ bagi menyatakan satu referendum menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal melunaskan janji-janji walaupun telah memegang tampuk pemerintahan hampir sebelas bulan, selain kegagalan menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, ia sebagai satu ekspresi ketidakpuasan hati golongan muda yang berterusan ditipu oleh kerajaan PH.

“Hari ini kami buat ‘flash mob’ di simpang tiga pekan Rantau… bersama-sama Pemuda UMNO, MCA, MIC, PAS, Makkal Sakti dan Kimma ramai-ramai berhimpun menunjukkan satu referendum bahawa kami semua anak-anak muda menolak Pakatan Harapan kerana mereka telah banyak menipu.

“Anak-anak muda begitu tinggi harapannya tetapi akhirnya ditipu, di’hancing’, di’kencing’. Kita akan pastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini milik Tok Mat, milik Barisan Nasional (BN),” katanya kepada media di sini, hari ini.

Justeru, Zaidy juga menyeru kepada pengundi-pengundi yang berada di luar Rantau agar balik menunaikan tanggungjawab pada 13 haribulan nanti dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Ayuh anak-anak Rantau daripada pengundi luar, baliklah membantu Tok Mat dan pastikan kemenangan Tok Mat pada 13 April ini, calon nombor satu,” ujarnya lagi.

Janji-janji mengenai pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sejuta peluang pekerjaan, gaji minimum dan penurunan kos sara hidup adalah perkara yang amat dekat dengan golongan muda tetapi ianya tidak ditunaikan oleh kerajaan PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau akan diadakan pada 13 April manakala undi awal pada 9 April.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan oleh SPR dan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti itu bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.