Dakwaan Salah Laku : Jangan Cakap Saja.. Lapor Pada Pihak Berkuasa – Tok Mat

 

Rembau, 7 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan  Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya banyak lagi provokasi yang akan dilemparkan terhadap beliau dalam fasa minggu kedua kempen sebagai usaha ‘membunuh’ karakternya.

Beliau berharap jika mereka yang mempunyai persoalan termasuklah soal salah laku semasa menjadi Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, perkara berkenaan harus dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya rasakan dalam fasa kedua kempen atau minggu kedua dijangkakan banyak lagi provokasi-provokasi yang akan dilemparkan kepada saya, kepada BN… biasalahkan. Harap orang ramai dapat membezakan mana yang betul dan mana yang tidak. Mereka dah mula untuk membunuh karakter saya.

“Jadi kepada mereka yang mempunyai persoalan-persoalan begitu saya harap supaya mereka laporkan kepada pihak berkuasa dan jangan cakap sahaja… kalau saya ada salah laku semasa saya menjadi MB dulu buatlah laporan kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Command Centre, di sini, hari ini.

Pada sidang media yang sama Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat berharap kempen untuk memecah-belahkan penduduk terutama isu perkauman dijauhkan sama sekali dan perlu dielakkan kerana ia akan mendatangkan kesan jangka panjang.

“Kita kempen cuma dua minggu. Kempen elok-eloklah…. Saya risau terlalu banyak provokasi nanti, selepas 13 April saya di Rantau pening kepala. Kami di Rantau hidup secara harmoni dah lama dah… tetapi disebabkan PRK ini banyak sangat provokasi terutamanya isu perkauman yang dimainkan akhirnya nanti kami di Rantau huru-hara selepas 13 haribulan untuk kita bersama-sama sebagai satu masyarakat majmuk semula.

“Jadi saya harap supaya kita berkempen, berkempenlah…jangan main isu perkauman. Nak kata apa kepada saya… ‘well’, kita perlu elakkan supaya jangan mainkan isu-isu yang boleh ganggu-gugat perpaduan kaum di negara kita,” tambahnya.

Tok Mat turut menegaskan kenyataan bahawa jika beliau memenangi PRK Rantau tidak akan memberi apa-apa manfaat kerana hari ini BN adalah pembangkang merupakan satu kenyataan yang tidak betul.

Tambahnya, tidak timbul masalah jika tempat itu diwakilli pembangkang atau sebaliknya kerana katanya jika PH menjalankan tugas dengan baik sebagai kerajaan, mereka mesti menjalankan tanggungjawab kepada semua rakyat dan bukan hanya kepada penyokong mereka sahaja.

“Kerajaan adalah kerajaan rakyat dan bukan kerajaan untuk cuma orang PH sahaja. Jangan silap faham. Ini tidak patut berlaku kerana kalau kita lihat semasa kerajaan BN dahulu walaupun tempat negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang tidak timbul soal tidak ada pembangunan. Kalau semasa BN, kawasan Seremban dan Rasah itu tradisinya kawasan pembangkang, pembangunan tetap berlaku dan dijalankan oleh kerajaan BN.

“Hal ehwal kebajikan masyarakat dan juga isu-isu masalah rakyat tetap kita selesaikan. Jadi tidak timbul soal Rantau ini kalau saya menang saya pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dilakukan. Itu tidak betul. Pandangan dan dasar begitu patut kita kecam. Di Kelantan kita bangunkan Kelantan hinggakan nak buat keretapi, nak buat ‘highway’ dan macam-macam. Di Kuala Lumpur kebanyakannya pembangkang tetapi kita bangunkan Kuala Lumpur. Pulau Pinang, pembesaran lapangan terbang dilakukan untuk kemudahan rakyat.

“Jangan sesekali kerana apabila dipilih sebagai kerajaan, kerajaan mesti mentadbir dengan baik dan adil supaya rakyat akan mendapat faedah dan apa jua perkhidmatan yang perlu diadakan. Saya amat tidak setuju jika ada kata-kata mengatakan bahawa jika saya menang di Rantau, orang Rantau akan dipinggirkan. Ini saya rasa satu kenyataan atau hasrat yang amat tidak sesuai dan tidak baik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.