Agenda Penyatuan Ummah Wawasan Tok Mat

REMBAU, 7 April – Agenda penyatuan ummah menjadi wawasan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hasil daripada pertemuannya bersama kepimpinan tertinggi PAS selepas diberi tanggungjawab sebagai orang nombor dua di dalam parti.

Ianya timbul apabila melihat kesan daripada perpecahan orang Melayu yang semakin kritikal ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jelas Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden parti.

“Ke mana kita nak bawa orang Melayu di Tanah Melayu ini… ke mana kita hendak bawa umat Islam di tanah air ini, kerana kita terlampau berpecah-belah dan kita rugi, kita akan menjadi orang yang lemah.

“Ini wawasan saya, saya diberi mandat dalam UMNO untuk membuat dua perkara, satu saya hendak memperkasakan parti UMNO ini saya akan buat proses memperkasakan UMNO dan kedua, kami nak mengatur dan menyusun strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kalau kita lihat Pilihan Raya aumum ke-14, 29 kerusi (Parlimen) tak patut kalah Barisan Nasional (BN) atau PAS kalau kita berunding elok-elok, banyak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang duduk dalam Parlimen, yang ada dalam kabinet dia memang tak patut menang tapi kerana tidak ada kerjasama, contohnya kerusi Temerloh atau Bentong, undi BN dan PAS jika dicampur melebihi undi PH,” katanya dalam Majlis Mesra Bersama Tok Mat Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Perumahan Rakyat Sri Lalang, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abd Ghani.

Justeru itu, Mohamad yang juga calon BN bagi PRK DUN Rantau menyeru semua pihak bersama-sama merealisasikan agenda tersebut tanpa menimbulkan perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat proses perpaduan.

“Mari kita buat agenda untuk menyatupadukan dua parti Melayu terbesar dalam negara ini yang perlu bersama untuk orang Melayu dan orang Islam.

“Dan tidak ada langsung agenda untuk memerangi sesiapa bahkan jika negara kita penduduk yang terbesarnya Melayu bersatu padu dah terbukti negara akan aman… dan terbukti dah kita telahpun mempunyai rekod bahawa semua orang akan dapat faedah.

“Kita bukan nak isytihar peperangan kepada sesiapa. Kita cuma nak bersiap sedia menyusun strategi untuk menang pilihan raya dan menyatukan ummah kita. Apakah salah? Salahkah saya? Salahkah kita jika saya menyeru supaya orang Melayu dan umat Islam bersatu padu?,” soalnya.

Mohamad yang lebih kenali sebagai Tok Mat turut mengharapkan agar semua pihak yang terbabit memelihara agenda penyatuan ummah dengan sebaik-baiknya, yang diibaratkan seperti menjaga sepohon pokok yang baharu ditanam.

“Biar pokok yang sedang kita tanam ini hidup subur, jangan cepat nak makan buah… orang tua-tua dulu tanam pokok nanti dapat anak cucu dia makan… dia memandang jauh jaraknya… kita hari ini beli, tanam pokok yang dah berbuah dan nak makan terus.

“Janganlah cepat sangat cakap nak menuai buah (pembahagian kerusi kawasan pilihan raya), sebab pokok baru nak hidup, baru nak tumbuh… kita pupuklah, siram, baja penyatuan ummah ini supaya orang Melayu ini bersatu padu, jangan berpecah-belah. Sampai bila kita hendak berpecah-belah,” tambahnya.

Jelas Mohamad lagi, setiap yang bersimpul pasti boleh dileraikan sekiranya mempunyai tekad mencari punca.

“Orang tua-tua kata, sakit berpunca mati bersebab… kita tak pernah cari punca… kita cari puncanya, hari ini jawatankuasa tertinggi yang ditubuhkan antara UMNO dan PAS iaitu dua naib presiden menjadi pengerusi masing-masing nak cari punca, dah cari punca akan tahu sebabnya….

“Tidak ada simpul yang tak boleh kita leraikan, jangan kita kata penyatuan ummah tak boleh dilaksanakan, jangan begitu bagi peluang kepada kami, untuk kita terus buat untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad yakin agenda penyatuan ummah mampu menjadi pelindung kepada rakyat keseluruhannya.

“Bagilah peluang agenda penyatuan ummah yang sedang kita bina ini, yang sedang membenih, mari kita suburkan, pupuk sama-sama… jangan kita matikan, patahkan pucuknya terencat pertumbuhannya nanti.

“Kita suburkan supaya ia satu hari nanti menjadi pohon yang lebih rendang untuk melindungi kita daripada panas dan hujan, daripada ribut petir dan segalanya. Insya-Allah akan berbuah untuk kita makan bersama.

“Orang Malaysia anak merdeka ini perlukan payung yang besar untuk berlindung. Payung PH tak boleh pakai!” tegasnya lagi.

Dalam ucapannya juga Mohamad amat menghargai semangat setiakawan dan solidariti yang ditunjukkan oleh parti MCA dan MIC bangkit kembali bersama BN.

Majlis malam tadi turut diserikan dengan acara penyerahan bendera BN kepada Mohamad daripada sekumpulan anak muda yang diketuai penjelajah Grand Slam pertama negara, Muqharabbin Mokhtarrudin yang tekad berjalan kaki dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur ke Rantau, sejauh 93 kilometer, yang tiba malam tadi sejak memulakan perjalanan Jumaat lalu sebagai satu lambang sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Mohamad bagi menghadapi PRK DUN Rantau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.