Statut Rome: Kerajaan PH Terpaksa Tarik Balik Kerana Tekanan Politik?


KUALA LUMPUR, 6 April – Kekecewaan Perdana Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa membatalkan apa yang telah mereka putuskan adalah difahami tetapi kerajaan tidak seharusnya memberi alasan dengan cuba menuduh pihak yang lain, tegas Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa

Katanya, isunya bukan sekadar baik buruk Statut Rome pada negara tetapi cara dan proses yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah.

“Kita mengalu-alukan penarikan ini. Tidak timbul ia kerana tekanan politik kerana keputusan Kabinet menandatanganinya itu sendiri adalah keputusan politik (political decision). Ini disahkan oleh Peguam Negara (AG) sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, perlu diketahui bahawa dua orang AG sebelum Tommy Thomas telah menasihatkan kerajaan agar tidak perlu bagi Malaysia menyertai treati ini kerana terdapat beberapa reservasi yang kuat.

“Perlu juga diketahui, kuasa besar dan anggota tetap PBB seperti Amerika Syarikat, Russia dan China tidak menandatanganinya. Dalam kalangan negara-negara Asean, hanya Kemboja menyertainya. Hanya 122 daripada lebih 190 negara anggota PBB menandatanganinya.

“Justeru, Kerajaan PH seharusnya terlebih dahulu bincang secara mendalam sebelum menandatanganinya. Pihak terbabit terutamanya Parlimen dan Majlis Raja-raja dan Seri Paduka Baginda YDPA mesti dirujuk terlebih dahulu tetapi ini tidak dilakukan.”

Katanya, janganlah pula menuduh Raja-raja cuba dipengaruhi. Perlu diingat Raja-raja bukanlah individu tanpa kelayakan. Ada kalangan Raja-raja berkelulusan PhD. Raja-raja Melayu juga mempunyai penasihat dari kalangan pakar-pakar.

“Kita tahu Raja-raja telah mengambil pelbagai langkah penuh cermat dan bebas politik dalam usaha memahami dan meneliti isu penting ini. Raja-raja juga difahamkan telah membuat keputusan secara konsensus sesama mereka.

“Raja-raja juga secara berhemah menyerahkan kepada Seri Paduka Baginda YDPA menyampaikan pendirian baginda. Maka kerajaan harus menghormati tindakan itu dan tidak harus cuba dipolitikkan,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada perjanjian Statut Rom yang telah ditandatangani sebelum ini setelah mesyuarat Kabinet mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-raja.

Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku sehingga memburukkan kerajaan dan diri beliau.

Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan. Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.