PH Tiada Hala Tuju Bangunkan Ekonomi, Tak Pandai Urus Kewangan Negara


REMBAU, 5 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam membangunkan ekonomi baik di peringkat negeri mahupun negara.

Tambah menghairankan jelas Mohamad yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak diketahui ke mana arah perbelanjaan kerajaan hingga ke tahap meningkatkan hutang negara.

“… yang menghairankan saya cuma baru sepuluh bulan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara dia telah meminjam, membesarkan hutang negara berpuluh-puluh billion.

“Semasa bulan Mei ambik kerajaan, hutang rasmi adalah sebanyak RM686 bilion, tetapi sekarang telah naik kepada RM777 bilion, apa dia pakai duit tu ke mana?

“Itu tak cukup lagi tu… ambil pula duit Petronas RM84 bilion. BN tinggalkan duit rizab Petronas RM187 bilion, itu yang dijarahnya,” katanya dalam Majlis Mesra Bersama Tok Mat Calon BN PRK N.27 Rantau di Taman Kelab Tuanku, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bukan itu sahaja, tambah menghairankan kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat adalah mengenai permohonan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di dalam Parlimen yang mahu meminta bajet tambahan sebanyak RM19 bilion.

“Buat bajet paling besar defisitnya tahun ini, tetapi saya hairan baru sesi pertama penggal ke-14 2019 dah minta duit RM19 bilion.

“Kalau orang yang pandai buat bajet, dia tak akan minta tambahan pada sesi pertama sekurang-kurangnya sesi ketiga dan keempat.

“Bila dah belanja duit baru minta, ini belum mula dah minta duit tambahan, maknanya dia tak tahu langsung macamana hendak buat bajet,” ujarnya lagi.

Bekas Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan itu turut menyatakan kerisauan melihat corak pentadbiran kerajaan sekarang dalam menguruskan negara.

“Saya risau dan tuan-tuan perlu risau cara kerajaan pakatan harapan mentadbir negara sekarang. Selalunya sumber pendapatan negeri atau negara yang besar berpunca daripada empat sumber. Cukai, hasil bumi, pembangunan atau pelaburan dan pinjaman.

“Hari pertama mentadbir negara, dia membatalkan projek pembangunan. Pembangunan mesti ada kerana itu merupakan punca utama pendapatan kerajaan.

“Di Negeri Sembilan saya tak pernah bergantung kepada cukai tanah semasa saya jadi MB. Cukai tanah jadi pendapatan yang paling kecil. Hampir 80 peratus pendapatan kerajaan adalah hasil daripada pembangunan. Hasil cukai tak sampai 18 peratus. Tetapi hari ini dia membatalkan projek, bila batal projek pendapatan tiada, ekonomi menjadi perlahan,” tegasnya.

Tambah membimbangkan apabila Moody’s, badan penarafan antarabangsa berkata pada awal tahun ini dijangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.7 peratus, tetapi semalam bertukar ramalan apabila mengatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia paling tinggi pada kadar 4.3 peratus sahaja, jelasnya lagi.

“Kerana inilah yang sedang berlaku di negara kita ekonomi negara sedang menguncup begitu laju. Kerana apa? Kerana segala projek-projek yang dibuat oleh kerajaan dibatalkan dan tambah dahsyat lagi projek-projek yang sepatutnya datang dari pelabur-pelabur asing tak datang.

“Daripada hampir enam peratus ekonomi berkembang, kek ekonomi kita membesar tahun 2017, tahun lepas 4.7, tahun ini dijangka menguncup lagi. Bila ekonomi menguncup banyaklah masalah akan kita hadapi,” kata Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti.

Berhubung dengan Hibah Tabung Haji katanya, BN sentiasa berusaha menjadikan Tabung Haji sebagai salah satu institusi yang memberikan faedah kepada rakyat.

“Maka sebab itulah secara puratanya tak pernah kita membayar dividen Tabung Haji bawah pada enam peratus. 2017, 8.25 peratus, bayar dividen kemudian bayar bonus kepada pendeposit Tabung Haji. Itu cara kita untuk menggalakkan orang menabung dan menabung di institusi yang dijamin oleh Akta Parlimen Tabung Haji.

“Hari ini kita dikejutkan bayar 1.25 peratus lebih rendah yang dibayar oleh institusi kewangan biasa yang sekarang mula membayar 4.5 peratus.

“Bila ditengok sekilas pandang mereka membuat satu cara perakaunan yang mana Tabung Haji tak perlu buat, Tabung Haji tak perlu buat rosot nilai sampai RM1.5 bilion. Dia mengikut apa yang dipanggil sebagai MFRS, Malaysia Financial Reporting Standard iaitu nombor sembilan membuat susut nilai,” bidasnya.

Jelasnya lagi, Tabung Haji bukan sebuah institusi kewangan yang tertakluk di bawah pendaftar syarikat.

“Tabung Haji bukannya institusi kewangan, Tabung Haji bukannya berdaftar di bawah pendaftaran syarikat, Tabung Haji dibuat di bawah akta Parlimen tak perlu buat rosot nilai, tiada keperluan, jika buatpun tak perlu sampai RM1.5 bilion.

“Saya tak tahu apa rasionalnya buat itu sehinggakan terpaksa mengeluarkan dividen cuma 1.25 peratus.,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.