U-Turn Yang Diterima… Malaysia Tarik Diri Dari Perjanjian Statut Rom, PH Jangan Mengarut Lagi


KUALA LUMPUR, 5 April – Keputusan Malaysia untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu adalah satu u-turn yang boleh diterima walaupun amat memalukan kerajaan dan negara, kata Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.

Ujarnya, walaupun ini adalah satu lagi u-turn daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun ia adalah satu u-turn yang boleh diterima.

“U-turn ini dibuat setelah pelbagai tekanan diberikan oleh pihak pembangkang, saya juga tidak setuju dengan tindakan Kerajaan menandatangani perjanjian Statut Rom sebelum ini.

“U-turn dan menarik diri setelah menandatangani Statut Rom ini adalah sesuatu yang amat memalukan Kerajaan dan negara kerana sepatutnya pihak Kerajaan PH bertindak lebih berhati-hati dan lebih bijak dan tidak menandatangani perjanjian ini dari awal pun, sebab ianya memberi kesan kepada Institusi Raja-raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini.

Pesan beliau kepada Kerajaan PH, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, jangan buat perkara mengarut seperti ini lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada perjanjian Statut Rom yang telah ditandatangani sebelum ini setelah mesyuarat Kabinet hari ini mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.

Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku sehingga memburukkan kerajaan dan diri beliau.

Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan. Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.