Statut Rom: Iktibar Jangan Terpesona Dengan Kuasa

KUALA LUMPUR 5 April – Keputusan kerajaan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sepatutnya menjadi iktibar supaya tidak lagi berasa takbur dan terpesona dengan kuasa yang dimiliki.

Malah, kelemahan komunikasi daripada menteri Kabinet di samping kegagalan membina kebolehpercayaan rakyat berhubung ratifikasi itu tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga seakan cuba ‘mencetak kejayaan’ ratifikasi berkenaan sebagai usaha peribadi.

Demikian tegas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan sambil menyifatkan keputusan berhubung penarikan diri itu merupakan langkah besar mengembalikan martabat dan maruah Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, keputusan itu juga bermakna usahanya bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain mempertahankan pandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan cuba dibelakangi dalam usaha ratifikasi itu terbukti benar dan sahih.

“Kita mungkin merasakan segalanya di atas tangan kita sedangkan hikmah Perlembagaan Persekutan dan daulat raja-raja terus memayungi aspirasi negara.

“Kembalilah kepada amalan kepemimpinan yang ikhlas dan tidak terlalu ujub dengan kekuatan diri. Zaman sudah berubah dan cukup berbeza. Celik kita tidak bermakna orang lain buta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan penarikan diri Malaysia daripada menyertai Statut Rom yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

Dr. Mahathir memberitahu keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-raja kerana tidak memahami isi kandungan status sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.