Gugur Ratifikasi Statut Rom Kesan Suara Pembangkang Dan Desakan Rakyat


KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan Kerajaan menggugurkan ratifikasi Statut Rom, menunjukkan apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen BN di parlimen adalah betul.

Jelasnya ketegasan ini menyebabkan kerajaan terpaksa akur dengan suara pembangkang dan desakan rakyat.

Tegas beliau walaupun kerajaan menyatakan, tindakan itu dibuat “disebabkan kekeliruan dan bukan kerana ia berbahaya kepada negara”, namun adalah jelas bahawa kesediaan kerajaan mengkaji semula keputusannya, menunjukkan kerajaan sekali lagi terburu buru membuat keputusan dan tidak dibincang semasak-masaknya.

“Adalah jelas, tindakan berkenaan menunjukkan rakyat, khususnya pembangkang, sekali lagi menjadi pelindung kepada institusi Perlembagaan, Agong dan Raja-Raja Melayu, dengan menggunakan kuasa mereka bagi menyemak semula (check and balance) keputusan kurang bijak Putrajaya meratifikasi Statut Rome.

“Pengguguran ratifikasi itu adalah satu kemenangan rakyat, yang tidak mahu melihat Perlembagaan Negara diperkotak-katikkan oleh musuh musuh negara, termasuk oleh puak tertentu berfahaman liberal di dalam negara ini sehingga sanggup memperlekeh dan membahayakan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

UMNO jelas beliau akan terus mengetengahkan isu-isu yang memelihara kedaulatan perlembagaan dan hak hak rakyat agar kerajaan PH yang ditunjangi rejim Dap tidak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan masa depan negara.

“Justeru, kita berharap episod ratifikasi Statut Rome ini akan menjadi satu peringatan kepada kerajaan dan secara khusus kepada penasihat-penasihat menteri supaya tidak mengambil mudah perkara-perkara yang berkaitan institusi Agong dan Raja-Raja Melayu, bagi mengelakkan keharmonian negara terjejas dan nama baik negara tercemar di dunia antarabangsa,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.