Tok Mat Nafi BN Pancing Undi Dengan RM50, Sifatkan Usaha Burukkan Parti

 

REMBAU, 4 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mendedahkan terdapat usaha oleh pihak tertentu yang cuba memerangkap serta memburukkan nama dan parti terbabit berhubung usaha memancing undi pada hari mengundi nanti.

Menurut beliau perkara berkenaan dimaklumkan oleh pengundi yang dikatakan menerima panggilan telefon mendakwa dari pihak BN untuk keluar mengundi dengan tawaran RM50 sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

“Saya dihubungi dan diberitahu bahawa ada usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan menelefon pengundi yang mana mereka tahu ia adalah pengundi tegar BN supaya keluar mengundi BN dan mereka akan dibayar dengan duit. Saya telah pun minta mereka-mereka ini buat laporan polis kerana ini saya merasakan satu cara untuk memburukkan nama saya atau memburukkan BN.

“Kita tidak pernah ada langsung niat… usaha atau apa-apa pun yang akan kita buat untuk kita memancing undi. Bahkan nak makan minum di bilik gerakan ini pun saya tidak berikan. Ini kerana kesalahan peraturan pilihan raya. Jadi ada dah dibuat menelefon pengundi kata keluar mengundi nanti ambil duit RM50. Ini saya harap supaya disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)….

“Saya telah minta orang yang menerima panggilan ini supaya membuat laporan polis untuk kita ‘pre-empt’ supaya nanti jangan pula orang kata BN yang buat. Kita nak nafikan ini bukan dibuat oleh BN. Ini boleh jadi dibuat oleh orang-orang yang nak mencemarkan nama serta memerangkap BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Command Centre BN PRK DUN Rantau, di sini, hari ini.

Menjawab soalan wartawan berhubung dakwaan jamuan kepada pengundi dalam satu ceramah Pakatan Harapan (PH), Mohamad berharap SPR berlaku adil kepada semua pihak.

“Dakwaan berkenaan terpulang kepada SPR siasat… semasa kita mengadakan kempen dalam PRU dan PRK perkara-perkara seumpama itu adalah dilarang dalam peraturan pilihan raya. Jadi saya tidak mahu menuduh apa-apa. Terpulang kepada pihak SPR untuk menentukan samada ia merupakan satu kesalahan atau tidak.

“SPR bertindaklah… SPR perlu bertegas jika perkara-perkara yang dilarang dilakukan. Kami mesyuarat dalam rumah pun telah disuruh berhenti oleh pihak SPR. Buat bacaan Yassin pun disuruh berhenti. Ini saya rasakan SPR perlu menjalankan tugas yang saksama kepada semua pihak supaya tidak dilihat berat sebelah,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.