Gagal Tunai Janji: Anak Muda Semakin Buka Mata, PH Masih Berlegar Di ‘Roundabout’


REMBAU, 4 April – Hakikat yang harus diakui oleh Pakatan Harapan (PH) kini ialah semakin hari mereka semakin dihukum oleh rakyat, termasuklah juga golongan muda kesan daripada kegagalan menunaikan janji-janji pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, ujar Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Ini dapat dibuktikan di kotak-kotak undi saluran muda di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Kita tak perlu ambil semua manifesto sebab majoritinya tidak ditunaikan… kita ambil contoh terdekat dengan anak muda isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)… sampai waktunya dijanjikan PH akan mansuhkan PTPTN, siapa tidak suka? Sampai PRU-14 diorang mengundi, ikut manifesto tetapi mereka telah di’kencing’…

“Jadi, inilah anak-anak muda marah, anak-anak muda menunjukkan kepada kerajaan sekarang, kita boleh tengok PRK Cameron Highlands saluran anak muda telah kembali kepada Barisan Nasional, di Semenyih pun sama juga anak muda kembali kepada kita, dan hari ini kita kena pastikan Tok Mat menang supaya Tok Mat menjadi ketua pembangkang dalam dewan menuntut janji-janji PH.

“Contoh terbaru, menteri agama kata nak umumkan hibah Tabung Haji pada bulan Mac, hari ini dah masuk April, di’kencing’nya lagi sekali… maka anak-anak muda, buka mata seluas-luasnya siapakah pemimpin yang layak di DUN Rantau ini,” katanya dalam Diskusi ‘Apo Nak Dikato…’ sempena PRK N27 DUN Rantau ’bertajuk Suara Orang Muda Dan Pengundi Bukan Melayu’ di sini, malam tadi.

Berhubung dengan PRK DUN Rantau, Zaidy amat yakin golongan muda akan memberi sokongan kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali dengan Tok Mat Hasan kerana jasanya yang amat banyak membantu belia-belia bukan sahaja di kawasan Rantau malahan dari seluruh negeri.

“Kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar mampu membela nasib rakyat, sentiasa membantu orang susah… jadinya, anak-anak muda pada 13 April nanti sama-samalah menyokong Tok Mat di samping menunjukkan ketidakpuasan hati kepada kerajaan PH dan satu referendum rakyat,” katanya lagi.

Manakala bagi seorang lagi ahli panel, Setiausaha Penerangan MIC Pusat, A Subash Chanrabose pula berpandangan cabaran bagi parti adalah bagaimana hendak meyakinkan segelintir anak muda yang masih menaruh terpengaruh dengan kerajaan PH walaupun terbukti tidak mahu menunaikan janji-janji.

“Janji adalah sesuatu yang amat penting untuk dilaksanakan. Dari segi adab, janji mesti dibuat. Ramai golongan muda telah termakan dengan fitnah-fitnah, cerita-cerita dongeng Pakatan Harapan.

“Walaupun kita boleh lihat ramai pemuda yang telah sedar tetapi masih ada yang keras kepala tidak faham-faham lagi. Ini kerana mereka tidak lihat situasi sebenar betapa ramai kehilangan pekerjaan sekarang, nilai mata wang turun, ramai pelabur keluar dari negara,” katanya.

Jelasnya lagi, keputusan dalam membuat dasar yang sentiasa berubah-ubah serta tidak sekata antara pemimpin-pemimpin PH juga tambah memburukkan keadaan.

“Kita sekarang bukan fikir (risau) apa akan jadi tiga empat bulan akan datang, tetapi apa akan jadi bulan hadapan kerana situasi sekarang semakin hari semakin teruk.

“Kerajaan sekarang ini mula-mula ‘u-turn’, lepas itu ‘v-turn’, sekarang (berlegar-legar) di ‘roundabout’ dah. Contohnya seperti isu PTPTN, dulu kerajaan BN ada formulanya kalau pinjam duit bayar balik sebab nanti boleh tolong orang yang lain, hinggalah satu tahap akan disenaraihitamkan, bayar semampu boleh siap bagi diskaun lagi….

“Tetapi kerajaan baru ini dulu kata patut beri pelajaran percuma, kenapa nak musnahkan masa depan orang muda dengan disenaraihitamkan, akhirnya mereka juga senaraihitamkan peminjam yang tak mahu bayar,” bidasnya.

Berhubung dengan PRK DUN Rantau, Subash yakin penerimaan golongan muda masyarakat India terhadap Mohamad amat-amat baik kerana jasa dan bakti beliau sebelum ini.

Ini berdasarkan bancian awal yang jentera-jentera parti lakukan, katanya lagi.

“Jawapannya jelas dan konsisten di mana nama Tok Mat ini tak perlu diingatkan balik untuk pemuda India kerana mereka telah menerima banyak sumbangan dan pertolongan dari Tok Mat,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.