PH/Dap Perlu Faham Maksud Jihad, Jangan Keluarkan Kenyataan Kurang Bijak


KUALA LUMPUR, 3 April – Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya Dap dinasihati agar memahami erti perkataan ‘jihad’ agar tidak mengeluarkan kenyataan yang nampak kurang bijak dalam isu perpaduan ummah UMNO-PAS, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menyokong pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang secara tegas tidak akan menarik balik istilah jihad sebagai menjelaskan kerjasama UMNO dan PAS dalam memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Saya ingin mengajar agar Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mendesaknya supaya menarik balik istilah jihad untuk memahami ertinya dalam Islam.
“Pada pemimpin Dap dan penyokong Dap erti kata jihad ialah berjuang dengan bersungguh-sungguh.

“Apabila Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan untuk sama-sama UMNO dan PAS jihad melawan PH adalah agar bersungguh-sungguh serta fokus dalam mendapat sokongan rakyat melalui proses demokrasi negara iaitu melalui Pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Jelasnya, kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri bukan bersifat perkauman seperti mana yang dimainkan oleh penyokong mereka dan media PH.

“Kenyataan beliau adalah untuk berjihad (bersungguh-sungguh) bagi menenangi pilihan raya akan datang menentang kerajaan Dap atau PH. Tiada istilah pun beliau menyebut bangsa mahupun agama.”

Soalnya kepada Lim Lip Eng, adakah beliau mengiakan bahawa Dap adalah sebuah parti yang hanya mementingkan Cina sahaja?

“Saya ingin mengajar dan mengingatkan beliau untuk fahami sejarah negara dimana UMNO/BN malah PAS adalah sebuah parti yang konsisten memperjuangkan semua kaum, agama dan bangsa sejak merdeka hingga kini, ini merupakan salah satu dasar yang tidak boleh disanggah oleh mana-mana pihak termasuk Dap.

“Jadi nasihat saya pada Dap dan PH, agar jangan keluarkan kenyataan yang nampak kurang bijak dalam isu perpaduan ummah UMNO-PAS.”

Tegasnya, sebagai sebuah parti politik sudah pasti harus bersungguh-sungguh (jihad) bila melawan musuh politik.

“Kami berdiri teguh dan menyokong keputusan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri agar tidak menarik kenyataan dan agar UMNO-PAS bersungguh-sungguh untuk tewaskan PH melalui proses demokrasi di pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dilaporkan, Lim Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan memberi tempoh 24 jam kepada Ismail Sabri untuk menarik balik perkataan jihad yang dikatakan berunsur hasutan dan berniat jahat terhadap kerajaan PH.

Katanya, provokasi ‘jihad’ yang dilaungkannya boleh membawa kepada pertumpahan darah dan orang tidak bersalah menjadi korban gara-gara penipuan yang dilemparkan terhadap PH. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.