Lantikan Politik Dalam GLC: Ketelusan Malaysia Baru Versi PH… Berbohong, Mungkir Janji


SEREMBAN, 3 April – Memungkiri janji sendiri semakin hari semakin sebati dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bukan sahaja menipu rakyat kerana gagal memenuhi janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan rakyat, malahan PH menipu diri sendiri apabila melanggar aku janji dalam hal ehwal pentadbiran mereka sendiri antaranya seperti pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pemegang jawatan utama di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam manifesto PH, di dalam Janji 16: Mengembalikan wibawa institusi Parlimen, dinyatakan bahawa PAC akan dikhaskan kepada ahli Parlimen daripada parti pembangkang.

Demikian juga bagi Janji 22 ada menyebut, ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Namun, sebaliknya berlaku apabila sekali lagi rakyat dihidangkan tindakan kerajaan PH yang berterusan menipu dengan pelantikan Pengerusi PH Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Begitu juga dengan pelantikan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Justeru, mengulas perkara demikian, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, ia merupakan satu bentuk pembohongan yang dilakukan oleh PH apabila tidak mahu menunaikan janji mereka sendiri.

“Saya masih ingat antara janji utama mereka dalam pilihan raya ialah pertama hendak melantik Pengerusi PAC di kalangan pembangkang. Buat sekejap tetapi bila Datuk Ronald (Kiandee) lompat, Datuk Ronald masih dikekalkan.

“… tapi yang lebih besar ialah pelantikan pengerusi-pengerusi GLC. Nampaknya semua sekali telah dilantik di kalangan orang politik. Dulu mereka janji bahawa sebagai tanda kerajaan mereka ini telus dan kerajaan mereka adalah kerajaan baru, Malaysia Baru, (maka) pengerusi GLC bukan dari kalangan orang politik mesti di kalangan profesional.

“Tetapi ternyata dua pelantikan terakhir Datuk Seri Mukhriz sebagai Pengerusi MADA dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi KADA. kedua-duanya adalah orang politik ‘hardcore politician’, maka jelas bahawasanya mereka ini ‘cakap tak serupa bikin’,” bidas Md Alwi berhubung perkara demikian kepada UMNO-Online.

Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata demikian ketika ditemui di Majlis Taqarub bersama penduduk di Taman Bukit Sendayan, di sini, malam tadi.

Tambah bekas Pengerusi KADA itu lagi, perkara yang menjadi pertikaian umum bukan mengenai siapa yang dilantik kerana ia menjadi hak kerajaan PH tetapi adalah sikap PH yang tidak mahu menunaikan janji sendiri.

“Hak mereka untuk melantik sesiapa tetapi masalahnya janji dulu nak perbetulkan kononnya kita (kerajaan Barisan Nasional) dahulu silap, tetapi (akhirnya) dia ikut juga.

“Maknanya kita dulu tidak silaplah. Kita dulu ada bagi kepada orang profesional, ada bagi kepada orang politik bergantung kepada kelayakan.

“Saya tidak mempertikaikan siapa mereka mahu lantik tetapi janji mereka tidak tertunai, bercakap bohong,” tegasnya lagi.

Sebagai rekod, sebelum ini terdapat beberapa nama ahli politik PH dilantik menerajui GLC, antaranya seperti aktivis undang-undang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd dan Datuk Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

PH turut melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Faiz Naaman (Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan Exco ARMADA Nasional) di Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan isteri Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Junaidah Kitting sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

Manakala nama-nama lain seperti Timbalan Ketua Pemuda PAN Nasional, Faiz Fadzil dengan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pengerusi PAN Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAN Nasional, Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.