Cadang Pindah Kilang Di Pasir Gudang Tidak Praktikal, Mundur


JOHOR BAHRU 3 April – Keputusan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian untuk memindahkan kilang yang beroperasi di Pasir Gudang jelas menunjukkan betapa tersasar dan kelirunya pemikiran kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pasir Gudang semenjak dari awal lagi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian terutama dengan kedudukannya yang strategik menjadi pemangkin pertumbuhan pesat sektor itu di Johor.

Menurut bekas Menteri Besar Johor, kawasan industri tersebut telah menyumbang kepada ratusan ribu peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi eksport yang sangat besar kepada pendapatan negeri Johor dan juga negara.

“Peristiwa pencemaran toksik di Sungai Kim-Kim adalah tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu tertentu dan meletakkan kesalahan kepada pemain industri lain di kawasan Pasir Gudang adalah sangat tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

“Perlu diingat ekonomi Johor masih membangun, sektor perindustrian terutama pembuatan adalah asas utama daya saingnya.

“Justeru, cadangan memindahkan kilang-kilang di Pasir Gudang bukan sahaja tidak praktikal dan mundur ke belakang tetapi ia jelas menunjukkan bagaimana keputusan dasar kerajaan diumum tanpa kajian mendalam, sahih dan tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada waktu sama, adalah tidak mungkin untuk kerajaan memaksa kilang tersebut berpindah kerana ia akan melibatkan kos yang sangat luar biasa tingginya kepada pengilang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Pasir Gudang harus kekal sebagai kawasan perindustrian dengan usaha gigih memastikan kelestarian alam sekitar dilakukan tanpa kompromi.

“Tanpa Pasir Gudang, ratusan ribu lagi penduduk Johor akan ke Singapura mencari kehidupan. Johor kemudiannya akan terus jadi laman belakang yang malap kepada Singapura yang semakin menyinga. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.