Tuduh Tiada Pembangunan… Rancangan 30 Tahun Negeri Sembilan PH Yang Batalkan


REMBAU, 1 APRIL – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan kecewa pelbagai perancangan pembangunan dan pemodenan Negeri Sembilan ketika beliau menerajui negeri tersebut telah dibatalkan oleh kerajaan yang baharu.

Justeru katanya, walaupun wujud dakwaan yang mengatakan beliau tidak membuat apa-apa pembangunan bagi negeri tersebut dan kawasannya, tetapi rakyat yang telah menikmatinya kini lebih mengetahui siapa yang memajukan Negeri Sembilan.

“Apa yang paling mengecewakan saya sekali ialah perancangan pelan tiga puluh tahun pemodenan Negeri Sembilan tidak disambung iaitu Rancangan 30 Tahun Negeri Sembilan 2015-2045.

“Ini satu rancangan yang saya buat, yang telah direka bentuk supaya Negeri Sembilan terjamin masa depan. Kita akan mendapat jaminan pendapatan setiap tahun yang banyak kerana ia adalah di atas tanah milik Sime Darby daripada Nilai hingga ke Port Dickson, dibangunkan di atas tanah seluas 153 ribu hektar.

“Saya telah pun mereka bentuk, kita mengambil banyak nasihat-nasihat daripada pereka bentuk pembangunan bandar daripada negara-negara luar yang saya telahpun melantik lima penasihat antarabangsa untuk menasihatkan saya dan kerajaan negeri termasuklah pakar-pakar reka bentuk daripada Universiti Harvard, Singapura, Universiti Beijing dan Universiti Cambridge… yang mana setengah daripada Negeri Sembilan ini dari Seremban sampai ke Port Dickson telah pun diwartakan sebagai sebahagian daripada Lembah Klang yang besar… termasuk tempat kita ini di Sendayan,” ujarnya.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan berkata demikian dalam Majlis Mesra Bersama Tok Mat Calon N27 DUN Rantau, malam tadi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, di Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, di sini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Malangnya tambah Mohamad, perancangan tersebut tidak dapat diteruskan kerana kerajaan BN telah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan tidak disambung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malah ada projek yang telahpun diluluskan tetapi dibatalkan oleh mereka.

“Ini yang menghairankan saya kerana banyak projek kerajaan yang telah diluluskan, (seperti) membina masjid tiga buah yang telah diluluskan tetapi dibatalkan termasuk masjid di Mahsan, Bahau, di Bukit Chedang dan Tunku Besar, Tampin.

“Segala projek kerajaan dibatalkan untuk menjimatkan kewangan negara tetapi nampaknya kerajaan masih tidak ada wang,” sinisnya.

Bekas Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan itu turut hairan mengapa pelbagai bantuan untuk rakyat di negeri tersebut kini ada yang diberhentikan kerana sepanjang mentadbir negeri beliau telah meninggalkan rizab yang cukup banyak ke dalam kantung kerajaan negeri.

“Bagi Negeri Sembilan telah dibukukan dan dibentangkan dalam belanjawan Negeri Sembilan pada tahun lepas bahawa saya telah tinggalkan, mempunyai rizab yang begitu tinggi. Kita ada yang rizab RM764 juta.

“Mengapa bantuan kebajikan masyarakat, baitulmal dan sebagainya diberhentikan.

“Ini yang membuat rakyat kecewa. Memang kerajaan Pakatan Harapan ini memang tiada haraplah… pakatan tiada harapan, tidak boleh diharap langsung,” bidasnya lagi.

Justeru jelasnya, sebagai pentadbir di sesebuah negara mahupun negeri, untuk mendapatkan hasil pendapatan yang efisen adalah melalui pembangunan.

“Negara atau negeri untuk mendapatkan pendapatan mesti dibangunkan bukan memberhentikan pembangunan. Kalau kita memberhentikan pembangunan kita tidak akan dapat pendapatan.

“Cara negara untuk mendapat pendapatan ada empat, satu daripadanya melalui pembangunan, dua hasil cukai, tiga hasil bumi dan empat meminjam,” katanya lagi.

Namun sebaliknya berlaku apabila PH mengambil pendekatan menolak pembangunan, tegasnya.

“Nampaknya negara kita menghentikan pembangunan. Ini salah, ini satu teori atau falsafah yang saya rasa amat tidak tepat kerana jika kita menghentikan pembangunan, kita tidak akan mendapat pendapatan, orang tidak akan datang melabur, pelaburan baru tidak akan wujud dan bila tidak ada pelaburan baru kita tidak akan ada modal.

“Bila ada pelaburan baru, akan ada pusingan modal yang berkali-kali ganda dan ia akan menjadi pusingan ekonomi yang mendatangkan banyak faedah kepada orang ramai,” katanya yang berpengalaman sebagai MB Negeri Sembilan selama hampir 14 tahun.

Oleh kerana itulah tambahnya, beliau yang mempunyai visi dan misi yang jelas dalam membangunkan Negeri Sembilan telah membuka ruang bagi mewujudkan ‘Malaysian Vission Valley’.

“Macam saya buka Negeri Sembilan, ‘Malaysian Vission Valley’ menjamin (pendapatan) setiap tahun kerajaan bagi negeri yang kecil ini. Kalau kita buat susun jadual pembangunan tersebut telahpun ada jaminan setiap tahun kita akan dapat RM500 juta sekurang-kurangnya duit daripada pendapatan premium (tanah) dan pembangunan.

“Kita ada RM500 juta dan kita ada hasil cukai yang tidak dinaikkan lebih kurang RM200 juta dan pendapatan lain, saya rasa senang-senang Negeri Sembilan mempunyai bajet RM1 bilion,” ujarnya lagi. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.