Pengiktirafan UEC Undang Polemik

KUALA LUMPUR 1 April – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjadi sebahagian syarat bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) boleh mengundang polemik pendidikan yang berpanjangan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad malah menegaskan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tunduk kepada tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang membenarkan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-undang Malaysia (LPQB) mengiktiraf UEC itu akan terus mewujudkan kebimbangan orang Melayu.

Hal ini kerana menurut Noraini, kerajaan terpaksa mencari jalan menerima dan mengiktiraf sijil berkenaan dalam sistem sosial sedia ada.

“Tommy mungkin terlepas pandang bahawa sejak mula lagi UEC tidak diiktiraf kerajaan sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Malah, pendapat ini turut sama dipegang tokoh sezaman beliau seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin. Tokoh ini turut sama memacu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan memiliki semangat nasional tinggi.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah jurang di antara kaum akan menjadi lebih besar kerana UEC dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina. Dengan medium pengajaran bahasa Mandarin, ini akan mengakibatkan kurangnya pendedahan komunikasi di antara pelajar tersebut dengan pelajar dari kaum lain di negara kita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin, Tommy yang juga Pengerusi LPQB berkata, CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021.

Tambah Noraini, pengiktirafan terhadap UEC juga bermakna negara akan melahirkan generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum.

“Kesannya mungkin tidak dirasai secara mengejut tetapi masalah perbezaan pendapat di antara kaum akan lebih buruk sekiranya PH mengiktiraf UEC hanya atas dasar kepentingan masyarakat Cina semata-mata,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.