Pengerusi MADA, Kerajaan PH Disindir Mungkir Janji Lagi

ALOR SETAR 1 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disindir terus memungkiri janji untuk tidak melibatkan lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan apabila melantik Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Fadzil Zolkifli berkata, pelantikan itu juga sekali gus menambah ‘koleksi’ jawatan Mukhriz yang turut menjawat pengerusi beberapa lagi agensi seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Mohd. Fadzil sehubungan itu mempersoalkan kemampuan Mukhriz membahagikan masa untuk mengambil berat perkembangan MADA dan masalah petani yang semakin terhimpit, sedangkan beliau sering kali sibuk berulang-alik ke Kuala Lumpur.

“Tiada perasaan malu kerajaan PH apabila seringkali mencabuli janji mereka sendiri, malah tiada langsung rasa bersalah kepada rakyat dengan ‘mengaut’ pelbagai jawatan.

“Sudahlah janji manifesto bahawa tiada penglibatan politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikhianati, ini jawatan agansi kerajaan dibolot juga.

“Selain itu, jangan dipandang mudah peranan MADA kerana ia adalah soal pembangunan Kedah dan sebahagian Perlis, melibatkan seramai 55,000 pesawah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengumumkan pelantikan Mukhriz sebagai Pengerusi MADA berkuat kuasa 1 Mac lepas, setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan PH dalam manifestonya berjanji bahawa tiada lantikan politik untuk menerajui GLC, sebaliknya ahli lembaga pengarah dipilih dalam kalangan golongan profesional.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil turut mempersoalkan kelewatan pelantikan jawatan tersebut dibuat sehingga dibiarkan kosong hampir setahun lamanya.

“Adakah kerana wujudnya perebutan untuk mengisi jawatan berkenaan, atau ada anggapan Mukhriz tidak sesuai memegang jawatan berkenaan.

“Sebelum ini dilaporkan agar jawatan berkenaan diberikan kepada orang PKR. Begitu juga kenyataan Salahuddin baru-baru ini yang tidak menyebut langsung Mukhriz sebagai calon dalam isu pelantikan Pengerusi MADA,” katanya.

Sekiranya PH tetap hendak melibatkan lantikan politik untuk jawatan Pengerusi MADA, Mohd. Fadzil mencadangkan supaya Mukhriz berjiwa besar dan menyerahkannya kepada pemimpin lain.

Kata beliau, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang telah menyerahkan kerusi dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) kepada PH.

“Sehingga sekarang beliau (Ku Abdul Rahman) belum diberi sebarang jawatan dalam kerajaan dan apa salahnya sebagai penghargaan diberi jawatan itu kepadanya kerana Ku Abdul Rahman sendiri mempunyai banyak masa di Kedah,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.