UEC: Pengaruh Asing Ditakuti Menjadi Asas Undang-Undang Negara

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk diterima sebagai memenuhi syarat bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) dikhuatiri boleh menyebabkan undang-undang negara dipengaruhi budaya serta pemikiran asing.

Ini memandangkan sistem UEC didakwa mengikut sukatan pembelajaran negara asing serta tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekali gus dikatakan pemegang sijil itu sukar memahami nilai-nilai negara.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, pengiktirafan itu bakal membuka pintu yang membawa kepada kebanjiran bukan warganegara Malaysia untuk mengamalkan undang-undang di Malaysia.

“Secara tidak langsung memberi ruang kepada bukan warganegara untuk campur tangan dalam sistem perudangan negara kerana hujahan peguam akan diguna pakai dalam penghakiman seterusnya menjadi ‘precedent’ (rujukan) kepada undang-undang negara.

“GPMS khuatir akan pengaruh luar menjadi asas kepada pembentukan undang-undang negara,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia, Tommy Thomas kelmarin berkata, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.