Team Pemuda VS Team Tok Mat Hangatkan Kempen PRK Rantau, Guna Peluang Isyarat Kepada PH

 

REMBAU, 31 Mac – Perlawanan bola sepak persahabatan antara Pemuda Barisan Nasional (BN) dengan penduduk tempatan di Kampung Sagga menghiasi kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Pemuda BN diketuai Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan kepimpinan pusat serta negeri manakala pasukan ‘Team Tok Mat’ pula dibarisi pemain daripada penduduk Kampung Sagga yang turut dibarisi Ketua Pemuda MIC Pusat, Thinalan Rajagopaludi .

Perlawanan yang diadakan di Padang Ladang Sagga berkesudahan 5-1 dimenangi pasukan Pemuda BN dan suasana di padang berkenaan cukup meriah dengan kehadiran penyokong masing-masing. Malah penduduk setempat turut meluangkan masa melihat secara dekat perlawanan terbabit.

Asyraf Wajdi ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir berkata program tersebut merupakan salah satu pendekatan mereka bukan sahaja untuk mengeratkan silaturrahim antara satu dengan yang lain malah ianya juga dapat mendekati pengundi-pengundi muda.

“Alhamdulillah hari ini kita lihat ramai anak-anak muda daripada pelbagai kaum turun termasuklah penduduk setempat yang menyaksikan perlawanan persahabatan ini dan sedikit sebanyak untuk meniupkan semangat mereka supaya dapat bersama dengan ‘Team Tok Mat’ dalam usaha membantu Tok Mat mencapai kemenangan pada 13 April nanti,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menyentuh tentang PRK Rantau, Asyraf Wajdi menegaskan pertama sekali umumnya sudah tahu kemenangan BN di Cameron Highlands, Semenyih malah di Rantau ini insya-Allah tidak akan memberi apa-apa kesan kepada perubahan kepimpinan negara di peringkat persekutuan mahu pun negeri.

“Namun PRK kali ini adalah mustahak kerana rakyat boleh memberikan isyarat kepada kerajaan dan ini sebagaimana di Semenyih sebagai satu referendum kepada kerajaan supaya cukup-cukuplah mereka meperbodohkan rakyat dengan pelbagai polisi serta dasar dan janji-janji yang tidak tertunai sehingga ke hari ini, bahkan mereka masih lagi terjerat dengan sindrom pembangkang. Maknanya walaupun sudah menjadi kerajaan namun sikap masih pembangkang.

“Di Parlimen pula tidak menjawab persoalan yang diberikan secara jujur dan tuntas, masih polemik bermain politik menyalahkan kerajaan terdahulu… ini sebenarnya menyusahkan rakyat dan kita sebagai rakyat mahu bergerak ke depan kerana sudah tentu kita memerlukan kerajaan yang memikirkan apa juga perancangan dan perencanaan yang memberikan manfaat kepada rakyat, namun sehingga ke hari ini masih tidak berlaku sebaliknya banyak berpolitik antara satu sama lain.

“Pergolakan antara Tun Mahathir dengan Anwar (Datuk Seri) nampak gayanya semakin parah dan ini memberi kesan kepada rakyat seolah-olah tidak boleh ‘move on’  lagi sebab itulah saya menyeru pengundi di DUN Rantau ini untuk menggunakan kesempatan yang ada bagi memberikan isyarat.

“Sebab setiap kali PRK kita dapat lihat salah satu yang bagusnya adalah kerajaan akan buat ‘u-turn’ kepada dasar-dasar  serta polisi yang menyusahkan rakyat. Jadi saya percaya jika rakyat sekali lagi menyatakan sikap mereka, kerajaan akan buat ‘u-turn’ yang baik sebenarnya untuk rakyat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.