Bukan Sahaja Rakyat, Ahli Parlimen Pun PH Tipu – Noh


REMBAU, 31 Mac – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata umum sudah mengetahui bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan penipu apabila tidak mahu menunaikan janji-janji yang melibatkan kepentingan rakyat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mereka sendiri.

Bahkan menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, perkara yang sama berlaku kepada ahli-ahli Parlimen baik daripada kerajaan mahupun pembangkang yang turut menjadi mangsa penipuan kerajaan PH.

Jelasnya, antara perkara yang ditipu adalah mengenai perlantikan Speaker Dewan Rakyat, pemegang pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dan reformasi dalam bidang kehakiman.

“Dia (PH) kata, kalau dia menang, Speaker Dewan Rakyat nak dipilih di kalangan ahli-ahli Parlimen mereka, akhirnya ambil orang luar pula… ahli parlimen dia pun di’kencing’nya….

“Reformasi Parlimen, Pengerusi PAC, (badan pemantau) akaun-akaun daripada kementerian-kementerian. Dia bagi tahu kalau menang, pengerusinya mestilah daripada pembangkang, mula-mula betul lantik dari pembangkang, Ronald Kiandee Ahli Parlimen Beluran. Sekarang ini Ronald Kiandee dah lompat parti masuk PPBM… dah jadi kerajaan, bila dah jadi kerajaan Tun Mahathir kata Ronald Kiandee akan terus menjadi Pengerusi PAC.

“Sebab itu kita buat keputusan semua ahli-ahli PAC daripada UMNO dan juga PAS letak jawatan,” kata Noh dalam ceramah isu-isu semasa di Kampung Pasir Linsum di sini, malam tadi.

Turut hadir, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang juga penyandang serta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Bidas Noh lagi, apabila membicarakan mengenai rasuah, PH cukup hebat kononnya mereka sebuah kerajaan yang berintegriti.

“Kes Lim Guan Eng, memalukan negara kerana kes sedang berjalan dan telah panggil saksi, tiba-tiba boleh dimohon dilepaskan dan akhirnya mahkamah bebaskan Lim Guan Eng.

“Rasuah apa? Bila kita sebut terowong, semua orang dah tahu orang dah buat laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Sebut sahaja kes terowong, kerana melibatkan Lim Guan Eng, macam nak pecah Parlimen, tak bersetuju,” ujarnya.

Begitu juga dengan menteri kabinet yang berjanji mahu memberikan jawapan bertulis tetapi hingga sekarang ada beberapa persoalan masih tidak mendapat jawapan yang dikehendaki.

Antara lain kata Noh, mengenai kontrak kerajaan tiada lagi tender runding terus.

“Dalam kerajaan kata tiada duit, daripada bulan Ogos (2018) hingga bulan Mac (2019), RM14 juta dibelanjakan hanya untuk mengurus kapal Equanimity.

“Siapa syarikat yang dapat RM14 juta? Syarikat yang dilantik secara runding terus, tiada pula tender terbuka… di mana janji dalam Parlimen, dalam manifesto,” soalnya lagi.

Berhubung dengan PRK DUN Rantau, Noh menyeru pengundi agar tetap memilih Mohamad sebagai wakil rakyat bagi mewakili suara-suara mereka.

Ini kerana katanya, berdasarkan pengalaman Noh sebagai menteri kabinet yang pernah memegang beberapa portfolio, apabila di dalam mesyuarat yang melibatkan Mohamad yang ketika itu sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau amat mengambil berat perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.