Bantu Saya Masuk DUN… Kita Tuntut Janji Kerajaan PH – Tok Mat

 

REMBAU, 31 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak pengundi di kawasan berkenaan untuk sama-sama membantunya masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha ‘check and balance’ kerajaan negeri  hari ini.

Menurut beliau langkah itu juga akan membolehkannya menuntut segala janji yang ditabur dan ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH)  sebelum ini kepada rakyat khususunya manifesto peringkat Negeri Sembilan.

“13 April nanti  bantu saya untuk saya masuk ke dalam DUN sebagai Ketua Pembangkang untuk ‘check’  kerajaan. Ini bukan untuk saya… tetapi saya mahu berkhidmat di DUN Rantau dan Negeri Sembilan agar kerajaan PH jangan tipu rakyat lagi dan jangan cakap kosong.

“Semua janji yang dibuat mesti ditunaikan. Saya akan tanya segala janji mereka dan ini yang saya akan lakukan. Beritahu kepada semua undi dacing… undi Tok Mat… saya akan berkhidmat selagi mana saya melihat Rantau memerlukan dan saya akan terus berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin Di Pusat Daerah Mengundi Pekan Sagga, di sini, malam tadi.

Turut serta Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Smebilan, Tuan Hj Rafei Mustapha.

Pada masa yang sama Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti turut melihat negara perlu bersiap sedia ke arah politik matang yang mana kewujudan sistem dua parti akan memberi kelebihan dan manfaat yang besar untuk rakyat.

“Kita bersiap ke arah politik matang yang mana sistem dua parti sepertimana di Amerika, Asutralia dan negara-negara lain. Sistem dua parti ini ianya adalah kebaikan kepada rakyat kerana rakyat akan memilih parti mana yang mereka mahu sama ada parti A mahupun parti B.

“Sistem ini akan kita cuba bawa di negara ini dan itu sebabnya kami di dalam BN cuba mengadakan satu gabungan parti pembangkang untuk kita memeriksa parti kerajaan iaitu PH kerana kerajaan mesti kita periksa… kerajaan mesti kita lihat selalu apa yang mereka buat dan dasar-dasar yang mereka nak buat mesti kita bahaskan kerana apa yang mahu dibuat akhirnya nanti rakyat akan dapat faedah.

“Jika sesuatu dasar kerajaan dibuat tetapi tidak mendatangkan faedah kepada rakyat maka di sini peranan pembangkang… di sini peranan kami nanti… atau selepas PRU-15 kita jadi kerajaan, parti yang sebelah pula akan memeriksa kami. Jadi inilah yang sedang cuba kita bentuk dan inilah yang sedang cuba kita buat,” ujarnya.

Ujarnya lagi apa yang sedang dilaksanakan itu menyebabkan pihak tertentu takut dan mimpi di siang hari.

“Ssepertimana yang disebutkan oleh Khairy tadi hinggakan Timbalan Speaker kata jika Malaysia ditadbir oleh pakatan pembangkang BN dan rakan lain termasuk dengan PAS maka negara kita akan jadi Taliban.

“Kita bukan bermula daripada sekarang… BN sudah mentadbir negara sejak daripada 1957… kita tidak bawa negara ini jadi Taliban. Kalau nak kata PAS pula atau syak pada parti berkenaan PAS sudah tadbir Kelantan lima penggal atau 25 tahun. Tidak ada pun Taliban di Kelantan malahan orang Cina, India, dan orang Siam yang beragama Budha hidup bebas dan aman damai di Kelantan.

“Bahkan Kelantan ada patung Budha yang paling besar di Asia. Ini menunjukkan PAS mengamalkan dasar toleransi beragama yang berbilang kaum dan agama di negara kita. Jadi tidak timbul dan ianya dibuat untuk menakut-nakutkan rakyat supaya jangan menerima konsep kerjasama ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.