Jasa Dan Bakti Jadi Saksi, Rakyat Hakim Terbaik Nilai PH Berkerajaan Atas Fitnah – Annuar


RANTAU, 30 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sekarang rakyat yang menjadi hakim dan saksi bagaimana dalam menilai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menaburkan pelbagai janji serta fitnah kepada kerajaan dahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerajaan PH bangkit kerana rakyat terpesona terhadap janji-janji mereka sebagaimana mengharap tol tidak ada, mengharap PTPTN tak perlu dibayar, harga minyak turun, harga barang akan turun juga lantaran terdengar guruh di langit air tempayan pun dicurahkan.

“Sesetengah parti politik pula lahir dari keadaan berbeza, lahir nak menjatuhkan orang… matlamat menghalalkan cara… menggunakan peluang untuk menjatuhkan orang dan tak sangka pula akan menang dan mendapat kuasa.

“… dan inilah episod malang yang terpaksa dilalui oleh masyarakat Malaysia sekarang ini. Dalam keadaan ghairah nak mencuba, terpengaruh dengan fitnah, terpesona dengan janji-janji sedangkan pihak yang berjanji kata dia sanggup berjanji sebab tak sangka akan jadi kerajaan.

“Orang yang bercakap pula bukan calang-calang, pernah jadi pemimpin negara, pernah jadi menteri kewangan, hebat dalam pidato maka rakyat terpesona…,” katanya.

Katanya, beliau melihat situasi sekarang ibarat jelmaan keprihatinan rakyat dalam politik semasa yang terpaksa berdepan realiti.

“Maka sekarang diuji dengan realiti… janji nak hapus tol tak dibuat, walhal dulu BN bukan tak nak hapuskan tol tapi kita terpaksa carry sistem jalan bertol hasil ciptaan era Tun Dr Mahathir di bawah program penswastaan. Ia elok pada masa itu tapi oleh kerana tiap-tiap tol itu ada 30-40 tahun tempoh konsesi dan apabila Tun Mahathir berhenti maka kerajaan yang menggantikan terpaksa teruskan dengan peningkatan-peningkatan semasa.

“Rakyat yang tak faham ingatkan ia tindakan Perdana Menteri semasa. Itu dari pentadbiran Perdana Menteri terdahulu dan sekiranya kita nak hapus tol maka kita terpaksa berbelanja 500-600 bilion. Kita tak boleh gunakan khazanah negara untuk jalan pintas, belanja untuk satu program demi selesaikan isu lain. Kita perlu jadi kerajaan yang bertanggungjawab.

“Begitu juga harga minyak yang bukan di kawal oleh kita tapi harga pasaran dunia, kita cuma uruskan agar bagaimana kesan harga minyak itu dapat kita imbangkan supaya jangan harganya jadi terlalu mahal, tapi tak bolehlah nak subsidikan semua… namun mereka ambil kesempatan gunakan fitnah dan janji palsu walhal ketika itu harga minyak kita antara yang termurah… mereka guna ayat ‘hari ini kita memerintah esok harga minyak turun RM1.50 selitar’.”

Tegas beliau, sebab itu BN tampil dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan tema ‘jasa dan bakti menjadi saksi’.

“Kita tak payah cakap banyak tapi lihat apa yang BN dah lakukan. Dalam PRK ini, BN bergerak dengan hati nurani rakyat, membawa kekecewaan dari masyarakat, rakyat datang memberitahu bagaimana keadaan mereka, mereka mahu kita ke depan dan berjuang bagi pihak mereka.”

Katanya yang juga Pengarah Operasi PRK DUN Rantau, PRK ini memberi peluang kepada BN untuk memperagakan imej yang lebih baik.

“UMNO/BN mesti berani melakukan penambahbaikan… keazaman untuk muncul sebagai Gagasan BN yang lebih baik lagi berbanding dulu dan tentu lebih baik dari PH sendiri dan PRK ini adalah ruang untuk meraikan kepelbagaian kaum secara lebih nyata dan menyerlah, dan juga dengan NGO-NGO yang tampil untuk menginspirasikan suara rakyat bersama BN.”

Beliau berkata demikian dalam Diskusi ‘Apa Nak Dikato’ PRK N27 Rantau yang turut disertai Datuk VS Mogan selaku Penyelaras Jentera MIC PRK Rantau dalam topik ‘Tok Mat Pilihan di Rantau’ serta dihoskan oleh YB Tuan Mustapha Nagoor.

Bagi VS Mogan, penglibatan Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat selaku calon PRK Rantau bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat India.

“Dalam kalangan masyarakat India Tok Mat adalah seorang pemimpin yang amat disegani kerana dari segi kemesraan dengan masyarakat India adalah sangat baik. Banyak masalah-masalah masyakat India dibantu, diselesaikan oleh Tok Mat… bukan hanya masalah-masalah harian atau hal-hal berbangkit tiba-tiba tetapi juga masalah yang dah lama berlarutan sejak sebelum itu misalnya masalah penempatan masyarakat India.

“Sebanyak sembilan buah kampung yang sekian lama gagal menemui penyelesaian tetapi apabila Tok Mat menjadi menteri besar, beliau telah membuat pelan tindakan dengan menyelesaikan sembilan kampung ini. Malahan pembinaan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil dengan Tok Mat menyediakan tanah, dan juga penyediaan kuil-kuil kepada masyarakat India. Program-program berterusan untuk masyarakat India di sini.”

Katanya, Tok Mat bukan asing dalam masyarakat setempat, sejak dulu tahun 80-an lagi amat akrab dengan belia khususnya sukan bola sepak dan beliau boleh melibatkan diri dengan semua pihak.

“Masyarakat India tentunya terhutang budi… jasa yang sangat banyak kepada kaum India,” tambahnya lagi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.