PH Perlu Hati-hati Beri Kenyataan, Buat Keputusan… Semuanya Beri Kesan Pada Negara


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman menasihatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya para menteri mereka untuk berhati-hati apabila mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana ia memberi kesan langsung kepada kedudukan negara.

Tegas beliau, orang luar khususnya para pelabur asing semakin hilang keyakinan kepada Malaysia lantaran beberapa tindakan kerajaan hari ini sama ada dari segi polisi dan dasar termasuklah hala tuju negara.

“Lihatlah jangka panjang janganlah asyik-asyik hutang negara 1 trilion sedangkan kita dah pertikaikan dalam Parlimen.

“Masalahnya menteri-menteri PH bukan saja tak ada pengalaman dan pengetahuan, misalnya Menteri Kewangan mendakwa dirinya seorang akauntan bertauliah tapi rupanya bukan, tak lulus lagi… jadi macam mana tu sedangkan dalam Dewan dia mendabik dada kononnya dialah yang pandai soal kewangan… pandai apa macam tu,” bidas beliau.

Katanya, orang luar tak ada keyakinan bila kerajaan PH melakukan tindakan yang tidak memberansangkan sampaikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun kata menteri-menteri kabinetnya lemah, lembap dan prestasi mendukacitakan.

“Kena melihat secara kreatif sesuatu masalah. Misalnya harga sawit… kita kena terima hakikat bahawa harga sawit bergantung kepada permintaaniaitu import dari negara-negara lain misalnya China dan India tapi kalau permintaan import dari negara lain jatuh maka jatuhlah harga sawit.

“Kenapa permintaan jatuh… sebab yang PH buat hal dengan China pasal apa… projek dengan China nak dibatalkan lepas tu nak suruh China pulak beli minyak sawit kita… tentulah dia kata tak payahlah beli dari kita… ni sekarang baru nak pujuk China lepas dah dibatalkan. Dah buat silap… dulu cakap sangat BN macam-macam.

“Macam tu juga contoh dengan India… dia ada duti import dan harga sawit jadi tinggi tapi kita ada hubungan baik dengan India malah sewaktu saya Timbalan Menteri saya ada berjumpa dengan pemimpin di sana berkaitan duti import yang mereka kenakan. Sekarang ini Teresa (Menteri Industri Utama) kata konon India nak import lagi dari kita tapi kita tengoklah nanti…,” kata beliau yang bekas Timbalan Menteri Asas Tani.

Beliau berkata demikian dalam ‘Diskusi dari Parlimen’ yang mengupas isu-isu dari Parlimen yang disiarkan menerusi laman Facebook UMNO-Online pada Rabu, malam.

Jelas beliau, sebelum PH mengambil alih, BN telah meninggalkan warisan pentadbiran negara yang stabil, pertumbuhan ekonomi amat baik dan pelaburan yang tinggi tapi sekarang ini Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara pun menurun.

“Mereka kata pelaburan 80 bilion sedangkan itu tak betul… saya dah check.. itu yang diluluskan, itu belum masuk pun… baru permohonan. Saya dapatkan fakta dari Jabatan Perangkaan yang masuk baru 31 bilion… jauh dengan angka 80 bilion, tapi ini dilakukan supaya kononnya ada peningkatan dengan kemasukan FDI, kononnya ia begitu meningkat sekali… daripada zaman BN dulu 2017 adalah 40 bilion dan zaman PH 2018 dah meningkat jadi lebih 80 bilion… itu tipu… sebenarnya hanya 31 bilion.

“Kalau dia (PH) berikan angka yang betul maka dia ada kejatuhan 20 peratus pelaburan asing. Jadi kalau dia beri gambaran begitu maka akan nampaklah pengurusan yang negatif berbanding BN. Inilah putar belit… satu penipuan.

“Itu dari segi pelaburan… kalau jatuh maka macam mana ekonomi kita pun tak jatuh? Pasaran saham jatuh… banyak syarikat-syarikat yang mengalami kejatuhan dan keuntungan syarikat menurun.”

Jelas beliau, semalam Menteri Kewangan kata ringgit Malaysia mengukuh tapi pada kadar 4.01 berbangding USD1 jadi mengukuh apa lainlah kalau pada kadar 3.7 atau sekurang-kurangnya 3.8 berbanding dollar.

“Punca-punca kejatuhan ini adalah kerana hilang keyakinan… ‘trust defisit’… pelabur rasa tidak yakin dengan kerajaan hari ini kerana projek-projek yang telah diatur oleh kerajaan dahulu iaitu BN… projek-projek yang boleh jadi pemangkin kepada ekonomi negara dibatalkan atau ditangguh.

“Pelabur asing tak nampak hala tuju kerajaan hari ini… apa dasarnya, malah kestabilan dari segi polisi kerajaan pun tak kukuh, tak pasti… contoh HSR, ECRL tiba-tiba dihentikan, kontraktor dihentikan. Ini projek-projek mega yang boleh jadi pemangkin dan penjana kepada ekonomi negara.”

Ujarnya, BN telah sediakan penjanaan ekonomi untuk masa hadapan yang kukuh tapi telah dirosakkan kerajaan PH hari ini.

“Kira sendiri berapa projek mega yang telah dihentikan oleh PH termasuklah ECRL dan HSR yang beri kesan bukan hanya hubungan dengan negara luar tapi dari segi kontraktor dan syarikat-syarikat yang terlibat, ribuan pekerja mahir yang hilang pekerjaan… pekerja biasa lagi,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.