Perpaduan Ummah: Satu Keperluan Atau Pilihan?


Pasca PRU14 menyaksikan agenda perpaduan ummah menjadi perbualan dan perdebatan kalangan netizen termasuk kalangan profesional, akademik, ahli politik, NGO dan generasi muda khususnya mahasiswa.

Persoalannya, adakah perpaduan ummah satu keperluan yang wajib direalisasikan atau sekadar pilihan yang boleh dikompromikan?

Perpaduan ummah merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Dalam satu ayat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah…
(Surah al-‘Imran: 103)

Perpaduan ummah ialah ‘jambatan emas’ menuju ke arah “Baldatun thayyibatun wa rabbun ghafûr”. Ia juga akan menjadi kesinambungan misi utama dakwah yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW. Kejayaan Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar di Madinah adalah satu peristiwa paling bersejarah dalam perkembangan ketamadunan Islam.

Pada 15hb September 2018 menjadi detik bersejarah bagi parti terbesar orang Melayu apabila saya selaku Presiden UMNO mengetuai delegasi UMNO memenuhi undangan PAS ke Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak. Permulaan yang baik diteruskan lagi dengan kehadiran delegasi PAS ke Perhimpunan Agung UMNO ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29hb September 2018.

Kedua-dua tarikh ini sudah pasti menjadi bibit-bibit awal kerjasama UMNO dan PAS, diikuti dengan kerjasama dalam beberapa PRK seperti PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Cameron Highland, Semenyih dan seterusnya Rantau.

Pada asasnya kerjasama di antara UMNO dan PAS adalah di atas semangat Ta’awun demi untuk menjaga kemaslahatan bersama bagi kepentingan agama, bangsa dan negara sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Walaupun kerjasama ini menerima tuduhan dan pandangan negatif daripada sesetengah pihak, namun tidak akan menjejaskan pemuafakatan yang telah dipersetujui bersama antara UMNO dan PAS sebelum ini.

Hakikatnya sejarah telah membuktikan Pemuafakatan politik di antara UMNO dan PAS telahpun berlaku selepas Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, apabila kepentingan orang-orang Melayu dan agama Islam mula cuba diganggu-gugat pihak lain.

Ta’awun UMNO dan PAS memasuki fasa baharu dengan Penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Teknikal bagi memperincikan hala tuju kerjasama kedua-dua parti bagi menyatukan ummah tanpa meminggirkan kaum lain termasuk Cina dan India.

Melihat kepada senario politik hari ini, banyak keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan telah merugikan agama Islam dan bangsa Melayu, Perpaduan ummah bukan lagi PILIHAN untuk dikompromikan.

Adakah kita pasrah dengan segala tindak- tanduk kerajaan yang merugikan ummah dan generasi akan datang? Demi ummah marilah kita bersama-sama perteguhkan agenda perpaduan, demi ummah kita kuatkan ikatan yang telah tertaut, buangkan segala agenda peribadi, puak dan ghanimah.

Demi ummah kita hayati asas kepada penyatuan ini, sepertimana Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Kamu merupakan sebaik-baik umat yang diutuskan, kamu menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah…
(Surah al-‘Imran: 110)

Perpaduan ummah yang dianjurkan oleh Islam ialah perpaduan yang positif bagi menegakkan kebenaran, bukan perpaduan yang negatif iaitu perpaduan ke arah kejahatan. Apabila telah wujudnya perpaduan ummah yang bersifat positif, maka menjadi tanggungjawab ke atas mana-mana individu dan kumpulan untuk mempertahankan perpaduan ini dan menangkis segala anasir jahat yang boleh membawa kepada perpecahan.

Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal adalah nilai teras (core value) dan kunci kepada kejayaan agenda besar ini. Kekusutan, pertikaian dan perpecahan dapat dielakkan apabila kedua-dua teras utama ini dapat difahami dan dihadami oleh pimpinan dan pendokong UMNO PAS. Kedua-dua nilai teras ini akan saya huraikan pada siri secangkir kopi seterusnya.

Apa yang penting Perpaduan Ummah menjadi agenda besar yang perlu bagi saya dan pimpinan UMNO PAS realisasikan dengan penuh berhemah dan berhikmah.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.