Beri Kupon Makanan: SPR Harus Bersikap Tegas Dan Adil Elak Dipertikai Rakyat


KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mendesak agar pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap tegas dan adil dalam soal menguatkuasakan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Jelas beliau, ini penting agar kredibiliti agensi atau badan terutamanya SPR terpelihara serta tidak dipertikai pelbagai pihak.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan negara, kita lihat terlalu banyak kesalahan yang berlaku dalam pilihan raya tetapi tidak diambil tindakan. Terbaru, tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng yang memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang secara terang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 8.

“Walaupun tempoh berkempen belum bermula namun ia jelas satu kesalahan kerana Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, bekalan, wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.”

Katanya, Seksyen 8 dan seksyen lain dalam akta sama seperti pengembangan perasaan jahat, permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah dimulakan dengan frasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh dilakukan.

“Jadi, sudah tentu sebagai pihak yang secara langsung terlilbat dalam pilihan raya, kita sememangnya menginginkan agar kedudukan SPR terpelihara dan tidak dipertikaikan. Sebab itulah, kita meminta agar tindakan diambil kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalalahn dalam pilihan raya tanpa memilih bulu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, beliau mendesak agar SPR membuat siasatan segera dan jika terbukti bersalah maka tindakan perlu diambil segera.

Difahamkan, program pemberian kupon makanan percuma itu turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rantau, iaitu Dr. S. Streram. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.