Persoal Apa BN Buat Selama 61 Tahun Adalah Kenyataan Emosi PRU Lalu – Mahdzir


REMBAU, 28 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mereka yang mempersoalkan usaha selama 61 tahun Barisan Nasional (BN) dalam urus tadbir pembangunan untuk rakyat dan negara ini adalah kalangan mereka yang tidak melihat secara mendalam dan hanya dipenuhi emosi sepertimana Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Mengambil contoh sektor pendidikan, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap seterusnya menjelaskan daripada dahulu kerajaan yang dinaungi bersama antara UMNO dan rakan-rakan komponen BN yang lain cukup gigih dalam melaksanakan agenda pendidikan negara bagi melahirkan masyarakat yang berjaya.

“Sejak merdeka hingga ke hari ini kita dah boleh tengok… sekolah kebangsaan… sekolah jenis kebangsaan… sekolah pondok dan macam-macam lagi. Tidak timbul kerajaan sebelum ini nak tengok satu bangsa sahaja… masing-masing dan semua mendapat hak.

“Kita sebelum ini juga menjaga rakyat secara menyeluruh dan bukan setakat soal pembelajaran di sekolah semata-mata malah jauh daripada itu seperti untuk asrama sebagai contoh… naik tingkatan enam biasiswa macam ini… kalau dalam universiti tempatan ini caranya… macam-macam kita buat dan fikir serta laksanakan dalam soal berkenaan. Ini baru satu tajuk iaitu pelajaran. Orang akan rasa seronok.

“Begitu juga contoh lain Dasar Ekonomi Baru (DEB)… membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dibuat oleh Allahyarham Tun Razak… kemudiannya sambung perdana menteri seterusnya… sambung lagi perdana menteri seterusnya… sehinggalah PRU lalu… 61 tahun kita jalan dan boleh tengok hasil serta perkembangan sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi Rantau, di sini Rabu malam.

Katanya lagi segala-galanya berubah pada 9 Mei tahun lalu dan UMNO serta BN menerima takdir dan hakikat berkenaan, namun setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Kabinet pun dibentuk setelah mereka berjaya membentuk kerajaan. Sebulan dua bulan bolehlah cakap ok… tidak kata apa lagi… bulan empat dan bulan kelima dah mula dengan cerita macam-macam… kasut hitam… BR1M dulu dedak tapi sekarang dah jadi Bantuan Sara Hidup atau (BSH).

“Apa yang dibuat meresahkan masyarakat di bawah… mereka yang berniaga ada masalah… kakitangan awam resah… orang biasa resah… sebab apa… sebab kerajaan tidak punya hala tuju yang jelas.

“Masyarakat umumnya dah tengok keputusan PRK DUN Semenyih… menang di semua saluran. Alhamdulillah dan kita yakin insya-Allah jasa Tok Mat di Rantau ada kelebihannya,” tambahnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan diadakan pada 13 April ini, dengan penamaan calon pada 30 Mac.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR. – MediaUMNO