Pengurusan Tabung Haji Oleh SPV… Kerajaan PH Hina Umat Islam

KOTA BHARU 27 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan menghina umat Islam apabila memindahkan dan menjual aset-aset milik Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bernilai RM19.9 bilion kepada sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang diurus sepenuhnya bukan Islam.

Penasihat Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jusanusa), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, tindakan itu seolah-olah menunjukkan tidak ada seorang pun umat Islam yang berkelayakan dan amanah.

Beliau berkata, perkara itu amat bertetangan sama sekali dengan objektif penubuhan utama Tabung Haji pada tahun 1963 untuk membantu umat Islam menyimpang wang bagi menunaikan Rukun Islam kelima.

“Malah Profesor Diraja Ungku Aziz ketika mencadangkan penubuhan Tabung Haji menyebuy secara jelas bahawa mahu menyediakan sebuah institusi untuk umat Islam melabur wang dengan cara yang halal disisi Islam.

“Sekiranya bukan Islam yang menjaga aset Tabung Haji apakah ada jaminan bahawa semua pelaburan dibuat mengikut hukum syarak.

“Masih ramai lagi orang Islam yang layak dan amanah untuk mengambil tanggungjawab ini. Orang Islam bukan bodoh malah kita peneraju sistem kewangan Islam dunia.

“Kenapa bukan Islam diberikan tanggungjawab ini, pemerintah hari ini menghina umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Parlimen kelmarin yang mengakui bahawa aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 billion telah dijual dan dipindahkan kepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn. Bhd. yang mana ketua pegawai eksekutifnya, Chen Yin Heng.

Mohd. Fared berkata, tindakan Mujahid juga seolah-olah menunjukkan bahawa beliau mengikut telunjuk dan tekanan yang diberikan oleh pemimpin DAP.

“Menteri Kewangan ialah Lim Guan Eng. Jadi Mujahid dan Guan Eng harus bertanggungjawab dalam hal ini.

“Ini institusi Islam yang termaktub dalam Perlembagaan. Tidak perlu campur tangan bukan Islam. Tindakan seperti ini hanya akan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.