PAC: Bukan Pembangkang Saja Tak Setuju, Ahli Parlimen Kerajaan Pun Sependapat – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara rasminya semua wakil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pembangkang telah meletakkan jawatan apabila tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan.

Jelas beliau, tindakan tersebut adalah kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengotakan janji manifesto apabila masih mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

“Walaupun belum menghantar surat perletakan jawatan namun tindakan ke semua ahli PAC daripada pembangkang yang tidak menghadiri mesyuarat tersebut jelas menunjukkan mereka telah meletak jawatan.

“Ini kerana tindakan kerajaan PH yang masih mengekalkan Ronald sebagai Pengerusi selepas Ronald melompat parti dan menyertai PPBM. Betul, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PH melantik Ronald (ketika itu masih bersama BN) sebagai Pengerusi tetapi kini dia telah lompat parti dan seharusnya jawatan tersebut diganti oleh orang lain daripada blok pembangkang.

“Dari segi semak dan imbang lebih baik dipengerusikan wakil dari pembangkang bagi menampakkan bahawa kerajaan ini telus dan tidak melindungi apa-apa kejadian di bawah kementerian mahupun agensi.

“Jika Pengerusi dan Timbalan PAC daripada kerajaan, ini jelas menunjukkan kerajaan ingin monopoli PAC, apa maknanya jika itu kehendak mereka? Sebenarnya mereka ingin menguasai PAC”, katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Selain blok pembangkang, terdapat juga beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang tidak bersetuju mengenai jawatan pengerusi PAC diberikan kepada Ahli Parlimen Kerajaan antaranya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Subang Tuan Wong Chen.

“Kalau pembangkang jadi Pengerusi PAC, kita akan masuk balik dan sokong sebab itu janji manifesto PH,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bera. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.