Fahami Isu Utama, Tabung Haji Di Bawah SPV Diselia CEO Bukan Islam – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 28 Mac – Apa keperluan mewujudkan ‘syarikat tujuan khas’ (SPV) yang diletakkan di bawah kementerian kewangan dan mengapa tidak sahaja diletakkan SPV tersebut di bawah Tabung Haji sendiri agar keyakinan dan kepercayaan umat Islam dapat terus dipertahankan?

Itulah persoalan utama yang dilontarkan oleh Pemuda UMNO untuk memahami isu yang dibangkitkan berkaitan aset Tabung Haji yang diselia oleh bukan Islam.

“Apatah lagi Kementerian Kewangan kini diterajui Lim Guan Eng yang rata-rata rakyat mempersoalkan komitmen beliau dan pendirian partinya, Dap terhadap agenda Islam selama ini,” tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, ini ditambah pula perlantikan CEO Prokhas yang bukan beragama Islam dan mengambil alih daripada jawatan yang sebelum ini disandang oleh Dr Nungsari Ahmad Radhi.

“Malah Prokhas Sdn Bhd pula menjadi syarikat yang bertanggungjawab penuh menguruskan SPV berkenaan.

“Paling digusari Kementerian Kewangan sejak di bawah Lim Guan Eng kini banyak menjual aset-aset strategik negara.

“Tentunya ada asas untuk umat Islam bimbang bahkan berhak untuk curiga, apakah aset-aset strategik Tabung Haji juga akan mengalami nasib yang sama?”

Sebagai contoh katanya, aset strategik TH iaitu Tanah TRX yang dibeli dulunya pada harga RM196 juta kini walaupun belum pun siap lagi telah dinilai meningkat kepada RM400 juta.

“Jika siap kelak TRX mampu mencecah RM40 billion (sebagaimana kenyataan Lim Guan Eng sendiri).

“Apa jaminan aset strategik umat Islam di tengah-tengah Bandaraya KL tidak menjadi mangsa dan terlepas ke tangan orang lain?”

Untuk pengetahuan jelasnya, Tanah TRX adalah salah satu aset yang telah dijual dan dipindahkan daripada Tabung Haji kepada SPV di bawah Prokhas Sdn Bhd. – MediaUMNO