Dah Jadi Kerajaan Tapi Perangai PH Di Parlimen Masih Macam Pembangkang – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan yang menerajui pentadbiran negara namun begitu, sikap dan tindak-tanduk mereka dalam persidangan di Parlimen masih lagi berperwatakan pembangkang, kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman.

Katanya, sesi Dewan Rakyat penggal ini telah berubah apabila PH yang dulunya pembangkang dah jadi kerajaan tapi apa yang dikesalkan mereka masih berperangai sebagai pembangkang yang terus menyalahkan kerajaan dahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

“Dulu semasa BN mentadbir, kerajaan bercakap secara telus, menjawab pertanyaan dan membentangkan program, memaklumkan projek-projek secara objektif dan dengan fakta, tapi PH sampai sekarang masih terus serang pembangkang sedangkan patutnya pembangkanglah yang serang kerajaan.

“Mereka kata BN gagal, banyak rasuah, isu 1MDB dan macam-macam lagi sedangkan semua perkara itu telah dibangkitkan dulu sebelum mereka menang dan sekarang mereka dah jadi kerajaan, tak payahlah nak bangkitkan lagi… selesaikanlah semua masalah sebab mereka dah ada kuasa,” bidas beliau.

Tegasnya, PH sepatutnya buatlah kerja dengan memenuhi janji-janji kepada rakyat sebagaimana dalam manifesto mereka tapi nampaknya mereka masih bawa lagi isu sama.

“Saya rasa ini satu perubahan hubungan antara pembangkang dan kerajaan yang amat berbeza sekali. Mereka ini tak ada modal apa yang nak dijawab, apabila ditanya mereka tak ada bahan untuk terang secara objektif.

“Bila ditanya tentang projek, tentang ekonomi… apa yang mereka nak bentangkan dalam tempoh 10 bulan ini kerana mereka tak berbuat sesuatu untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ‘Diskusi dari Parlimen’ yang mengupas isu-isu dari Parlimen malam tadi yang disiarkan menerusi laman Facebook UMNO-Online.

Terdahulu, dalam sesi Parlimen menteri-menteri PH gagal memberikan jawapan biarpun soalan yang dikemukakan oleh barisan pembangkang amat mudah.

Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, ketika ditanya Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim siapakah CEO pengurusan syarikat tujuan khas (SPV). Contoh lain iaitu berkaitan keputusan kerajaan PH menandatangani perjanjian Statut Rome yang menimbulkan persoalan sama ada telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong atau tidak namun tidak ada jawapan yang meyakinkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.