Kenapa Mahu Jerut Kedaulatan Negara… Apa Agenda PH Ratifikasi Statut Rom?


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil sangsi dengan komitmen serta agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi Statut Rom.

Menurut Isham dalam hantaran di Facebooknya, Statut Rom ternyata adalah satu perjanjian antarabangsa yang kritikal dan berlainan berbanding perjanjian-perjanjian lain, dan ia memberi implikasi negatif kepada kedaulatan negara.

“Sebab itu banyak negara-negara seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Singapura dan Brunei tidak menandatangani atau meratifikasinya.

“Buat apa kita pula ingin menjerut diri kita sendiri?

“Saya ingin bertanya, apa agenda sebenar Menteri PH dan Kerajaan PH untuk menandatangani Statut Rom ini?,” soalnya.

Bidas Isham lagi, walaupun terdapat beberapa perjanjian antarabangsa tanpa melalui Parlimen sebelum ini, ia tidak bermakna perjanjian seterusnya juga boleh melalui proses yang sama.

“Kepada Menteri Luar PH, walaupun terdapat seratus waima seribu pun perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen sebelum ini, ia tidak bermakna itu menjadi sebab (precedence) yang membolehkan perjanjian-perjanjian seterusnya ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen atau tanpa persetujuan Yang Dipertuan Agong.

“Ini kerana setiap perjanjian itu adalah berlainan dengan terma-terma dan kesan-kesan dan implikasi yang berlainan,” tambahnya lagi.

Dalam isu yang sama juga, Isham menempelak Menteri Luar, Datuk Saifudddin Abdullah yang berhujah seperti kebudak-budakan.

“Hujah Menteri Saifuddin ini seakan-akan hujah budak-budak yang sebegini; “Sebelum ini sudah berpuluh kali saya janji dengan jiran saya untuk tolong mereka gotong-royong tanpa maklumkan ibu dan ayah saya.

“Oleh itu kali ini apabila saya janji kepada jiran saya pula untuk beri kunci rumah dan benarkan mereka masuk pada bila-bila masa mereka suka pun saya rasa tak perlulah saya maklumkan ibu dah ayah saya juga”,” kata Saifuddin yang dipetik Isham yang disifatkan sebagai amat lemah, kurang bijak dan terdesak.

Semalam Ahli-ahli Parlimen pembangkang bersuara dalam Parlimen menyoal tindakan kerajaan PH menandatangani ke arah meratifikasi Statut Rom.

Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga bekas Timbalan Menteri Luar Negeri kerajaan Barisan Nasional, Datuk Seri Reezal Merican mengatakan bahawa langkah Kerajaan PH untuk meratifikasikan Statut Rom adalah melanggar Perlembagaan dan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong serta perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Manakala hujah daripada Saifuddin adalah berbunyi; “Sebelum ini lebih 100 perjanjian antarabangsa telah ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen (oleh itu perjanjian Statut Rom ini pun tidak perlu dibawa ke Parlimen).” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.