Kebebasan Pembangkang Disekat, Menteri PH Gagal Beri Penjelasan Di Parlimen – Jalaluddin


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kegagalan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) dan ahli-ahli Parlimen kerajaan membuat penjelasan serta memberikan jawapan tepat berkaitan persoalan atau isu semasa yang diajukan menjadikan perbahasan di Dewan Rakyat tidak membawa sebarang makna, kata Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Katanya, sebagai ahli Parlimen yang membawa suara rakyat, barisan pembangkang di Parlimen menimbulkan persoalan yang antaranya sangat mudah untuk dijawab namun tindakan ahli-ahli Parlimen PH gagal memberikan jawapan apatah lagi untuk membuat penjelasan.

“Kita bawa suara rakyat, kita memerlukan perjelasan yang lebih detail dan secara terus terang, kalau jawapan diberikan secara jelas tentunya kami tidak akan mencari salah… apa punca pertikaman lidah… puncanya kebebasan bersuara ahli Parlimen semakin hari semakin berkurangan, semakin tersekat.”

Dalam hal ini, beliau memberikan contoh menerusi soal jawab semalam melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, ketika ditanya Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim siapakah CEO pengurusan syarikat tujuan khas (SPV) Tabung Haji.

“Menteri tak menjawab soalan yang ditimbulkan sedangkan ia amat mudah… kita tak nampak sebab dan musabab yang boleh dilindungi dalam hal ini. Kalau ahli Parlimen pun tak boleh tahu apatah lagi rakyat… ini yang kita pertikaikan.

“Kita tak nampak sebab dan musabab pihak kerajaan nak melindungi fakta atau data tertentu, nak melindungi pihak atau pemimpin tertentu kerana mempunyai agenda yang tersembunyi.

“Ini yang membuatkan pertikaman lidah atau perbahasan tak membawa sebarang makna dan jika ini berterusan dilakukan oleh pihak kerajaan atau oleh menteri PH maka akan menimbulkan lebih banyak syak lagi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut memberikan contoh lain iaitu berkaitan keputusan kerajaan menandatangani perjanjian Statut Rome yang menimbulkan persoalan sama ada telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong atau tidak?

“Kita tahu sistem Parlimen, kalau sebarang isu-isu yang berkaitan Parlimen atau Perlembagaan mesti dibawa kepada Yang Di-Pertuan Agong, soalan paling mudah… kerajaan harus jawab telah mendapat perkenan ataupun belum… itu saja harus dijelaskan supaya rakyat tahu tentang pertikaian bahawa perjanjian ini telah dibuat mengikut tatacara perundangan.

“Di sini saya tak nampak kenapa kerajaan atau menteri terlalu nak berselindung tentang beberapa perkara yang tak harus disorokkan dari makluman Parlimen, apatah lagi rakyat. Ini yang menjadikan Parlimen menjadikan seolah-olah tak dapat capai sesuatu yang harus dicapai dalam setiap sesi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi Dari Parlimen mengupas isu dalam Dewan Rakyat ‘PH Gagal Di Parlimen’ malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online.

Tegasnya, salah satu yang tidak boleh diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang adalah tentang kenyataan-kenyataan menteri yang menambahkan pelbagai persoalan khusunya berkaitan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang mencetuskan isu-isu ke arah meretakkan hubungan antara kaum dalam negara.

“Adakah ini salah apabila ditimbulkan oleh ahli Parlimen pembangkang… apabila bertanya isu-isu berkaitan perpaduan yang menjadi perhatian Yang Di-Pertuan Agong dan harapan rakyat iaitu mesti diurus oleh mereka yang mementingkan perpaduan kaum.

“Saya fikir ini adalah perkara yang mesti kita selesaikan. Secara etika dalam Parlimen, dan bukan untuk mencetuskan huru-hara dalam Parlimen namun yang dibimbangi oleh rakyat adalah sikap berdolak-dalik oleh kerajaan.

“Harapan rakyat sekarang adalah kepada kerajaan… kerajaan mewakili majoriti rakyat. Kalau kerajaan masih seperti ini dan tak dapat meyakinkan rakyat bahawa PH lebih baik dari kerajaan dahulu iaitu Barisan Nasional (BN) maka menteri PH mesti ambil langkah kepada rakyat tanpa mengelirukan fakta, meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sentiasa melakukan anjakan atau reformasi supaya negara sentiasa aman damai dan tidak ada faktor ke arah huru-hara.”

Katanya, rakyat tertunggu-tunggu dalam tempoh 10 bulan ini, apakah tindakan kerajaaan yang membawa kepada urus tadbir lebih baik kepada agama, bangsa dan negara?

“Apa penambahbaikan yang telah dilakukan oleh PH yang lebih baik dari BN sepanjang tempoh mereka mentadbir selama ini. Seorang menteri cerita bab kasut, seorang cerita bab buloh, seorang cerita bab kereta terbang sedangkan kita mahukan kerajaan yang fikir soal negara.

“Apa akan jadi kepada negara kalau ini yang jadi dikalangan rakyat? Saya khuatir negara kita akan semakin menjunam dalam indeks kebahagian rakyat apatah lagi dalam soal ekonomi negara,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.