Enggan Beri Peluang Pembangkang Mencelah… Timbalan Speaker Berat Sebelah?

 

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Berat sebelah! Itu yang boleh disimpulkan berkaitan sikap Timbalan Speaker, Nga Kor Ming ketika Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat penggulungan perbahasan Titah Di-Raja.

Kor Ming langsung tidak memberi laluan kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk mencelah ketika Guan Eng berucap malah menyarankan kepada Ahli Parlimen keluar dewan sekiranya tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan oleh menteri.

Suasana Dewan menjadi kecoh ketika Guan Eng membuat penggulungan dengan laungan ‘terowong’ kerana sepanjang sesi tersebut, Guan Eng langsung tidak menyentuh mengenai isu terowong yang dibangkitkan oleh beberapa orang ahli Parlimen ketika sesi perbahasan.

Antara yang telah membangkitkan perkara tersebut adalah ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya sepanjang 45 minit penggulungan, ahli Parlimen Bagan itu lebih memfokuskan tentang hutang kerajaan terdahulu dan menyerang Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara yang dibangkitkan oleh Guan Eng adalah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya adalah hutang terbesar negara sehingga RM1 trilion.

Guan Eng turut membangkitkan mengenai tender terbuka yang katanya dijadikan amalan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sistem tender terbuka adalah kaedah yang paling baik untuk mendapatkan harga yang paling lumayan untuk kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Jadi di sini sekali lagi saya berharap Yang Berhormat daripada Pekan (Najib), tolong ingat apa yang anda buat semasa anda menjadi Perdana Menteri Malaysia. Janganlah cuba untuk membelakangkan fakta, kerana ini adalah keputusan anda sendiri.

“Saya rela untuk berikan peluang kepada Yang Berhormat Pekan untuk menjawab perkara ini,” ujar Guan Eng.

Najib kemudiannya bangun dan berkata: “Jawab terowong dulu. Cerita terowong itu jawab dulu,” bidas Najib.

Sehingga di akhir perbahasan tetap tiada penjelasan mengenai isu terowong, dan seperti biasa menteri PH meletakkan kesalahan terhadap kerajaan terdahulu. – em>MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.