Insiden Di New Zealand Titik Permulaan Tolak Label Islam Agama Keganasan

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Khaidhirah Abu Zahar berterima kasih dan menyokong tindakan wanita-wanita di New Zealand yang telah keluar ke tempat umum dengan memakai tudung di kepala sebagai tanda sokongan dan semangat kepada Islam.

Katanya, ini harus menjadi titik permulaan dalam menolak label Islam sebagai agama keganasan yang selama ini menghantui masyarakat Islam terutama di barat sehingga ada di antara mereka yang takut dan rasa tidak selamat untuk berada di tempat umum.

Berikut kenyataan penuh Khaidhirah:

Momokan Islam sebagai sebagai agama keganasan yang dilaungkan selama ini terutama dari kumpulan Islamophobic haruslah dihentikan. Masyarakat dunia harus sedar dan berani menangani dan memerangan keganasan seantero dunia (Global War on Terrorism).

Naratif Islamo-fobia di negara Barat sering kali menyebkan umat Islam minoriti di sana menjadi mangsa diskriminasi dan tidak dapat menjalani kehidupan beragama dengan aman sebagaimana masyarakat yang lain.

Ramai umat Islam telah diheret ke kancah permasalahan dan dibelenggu dengan konflik dunia apabila Islam dilabel sebagai agama pengganas kerana wujudnya gerakan pemisah dan pemberontak. Gerakan mereka ini memperalatkan Islam sebagai imej perjuangan mereka yang kononnya mereka ini sanggup dan berani mati di atas nama jihad. Namun ideologi kegenasan ini telah mengorbankan ramai manusia lain yang tidak bersalah.

Keganasan dari puak pelampau sering kali dikaitkan dengan kumpulan ataupun lone wolf Jihadi Islam seperti letupan bom di luar bangunan Manchester Arena, ketika berlangsungya konsert Ariane Grende yang didalangi oleh seorang lelaki warga Britain berketurunan Libya di mana letupan keganasan telah meragut 23 nyawa yang tidak bersalah dan mengakibatkan kecederaan kepada 119 mangsa lain.

Mesej Islamofobia disemarakkan lagi dengan insiden pada tarikh yang sama tahun 2017 telah berlakunya pertempuran antara tentera kerajaan Filipina dan Militan Mauter di wilayah Lanao del Sur selepas pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang tentera untuk memberkas ketua kumpulan militan Abu Sayyaf. Bukan sahaja tentera, tetapi orang awam turut menjadi mangsa korban pertempuran itu.

Walhal insiden keganasan yang berlaku di seluruh dunia turut melibatkan gerakan pelampau yang lain termasuk juga penjajahan terhadap negara Islam sebagaimana penaklukan Israel di Palestine sejak bermulanya Deklrasi Balfour 1917 dan membarah sehingga kini.

Sejarah imperialisme dunia yang menyaksikan siri Perang Dunia dari WW1 dan WW2 dengan mengakibatkan jutaan nyawa melayang. Projek pendemokrasian liberal Barat ke Timur Tengah di atas nama Musim Bunga Arab (Arab Spring) yang gagal akhirnya telah memundurkan sosio ekonomi negara-negara yang terlibat dan ribuan rakyat menjadi korban kepada kegagalan projek hak asasi manusia ini.

Siapakah dalang kepada semua insiden ini? Bahkan gerakan pelampau Islam sendiri seperti Al Qaeda, Daesh, Jahbat al Nusra, siapakah yang menaja persenjataan mereka?

Dasar Luar Amerika Syarikat era George Bush antara 2001–2009 yang begitu agresif untuk menangkap Saddam Hussein, Presiden Iraq 1979 – 2003 selepas peristiwa 11 September telah mencetuskan peperangan berterusan di Iraq telah mengorbankan lebih daripada setengah juta kanak-kanak.

Pembersihan etnik yang dilakukan oleh Tentera Nazi Hitler ke atas Yahudi, pembantaian umat Islam Rohingya di Myanmar turut menunjukkan ideologi ektremisme ini turut dianuti oleh kumpulan-kumpulan lain.

Inilah bukti ketidakadilan yang dilakukan oleh para Islamophobic dengan memfitnah Islam sebagai agama yang mempromosikan keganasan. Bagaimana pula dengan keganasan yang dilakukan oleh penganut agama lain seperti contoh-contoh keganasan di atas? Adakah setiap agama yang dianuti manusia ini mempromosikan keganasan?

Sudah tentu agama-agama ini tidak mempromosikan keganasan. Bagi agama Islam, perkataan Islam itu sendiri adalah agama kesejahteraan. Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk masuk ke dalam kesejahteraan secara total, dengan maksud berpegang kepada ajaran Islam keseluruhannya menerusi FirmanNya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (Islam) secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah:208].

Masyarakat dunia dan khususnya harus sedar bahawa keganasan ini tidak terletak pada agama tetapi keganasan ini timbul daripada sikap individu yang taksub dengan kepercayaan kesan daripada kesilapan mereka sendiri dalam mentafsir ajaran kepercayaan mereka.

Bahkan pemain politik global sendiri yang menginginkan keuntungan peribadi turut memanipulasi gerakan ini sehingga melupakan nilai-nilai kemanusiaan dan membawa kepada pengorbanan nyawa manusia secara sia-sia.

Sehubungan dengan insiden malang yang berlaku di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand dipercayai pengganasnya warganegara Australia menganuti ideologi Neo-Nazi sekali lagi menggemparkan dunia betapa umat Islam juga sebenarnya menjadi mangsa terhadap ideologi melampau.

Perkara yang mengharukan apabila reaksi Perdana Menteri, Jacinda Ardern dari Parti Buruh telah menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden berdarah ini dan membenarkan azan berkumandang di seluruh negara.

Saya juga amat berterima kasih dan menyokong tindakan wanita-wanita di New Zealand telah keluar ke tempat umum dengan memakai tudung di kepala sebagai tanda sokongan dan semangat kepada wanita Islam di New Zealand.

Ini harus menjadi titik permulaan dalam menolak label Islam sebagai agama keganasan yang selama ini menghantui masyarakat Islam terutama di barat sehingga ada di antara mereka yang takut dan rasa tidak selamat untuk berada di tempat umum. Ketahuilah bahawa “terrorist has no nationality or religion” – Vladimir Putin.

Khaidhirah Datuk Seri Abu Zahar
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.