Kerajaan PH Patut Tangani Isu Sensitif Segera, Jangan Tolak Ansur Hal Agama, Raja-raja Dan Perkauman – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Barisan Pembangkang telah membuat teguran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuklah dalam perbahasan secara rasmi di Parlimen supaya isu-isu sensitif yang berkaitan agama dan penghinaan kepada Nabi, penghinaan pada Raja-raja dan hal perkauman patut diambil tindakan segera, cepat dan tidak ada bertolak ansur.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa hal-hal tersebut telah dibangkitkan oleh barisan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen agar tindakan segera dilakukan oleh kerajaan.

“Ini adalah perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat oleh semua pihak terutamanya kerajaan kerana rakyat berbagai-bagai kaum, isu ini sensitif yang boleh menggugat keselamatan negara dan kita ada undang-undang namun nampaknya ia tidak berkesudahan.

“Semacam sudah menjadi ancaman baru dalam negara apabila isu perpaduan dan perkauman terjadi yang disebabkan sensitiviti semakin nipis… misalnya hal penghinaan Nabi… semasa zaman Barisan Nasional (BN) tak begitu ketara tapi hari ini begitu jelas… ada orang ambil dalam portal dan sangat berani.

“Hal ini menyentuh kehidupan rakyat yang majmuk sedangkan perpaduan sandaran kita… jelas ada cubaan menolak dasar progresif yang jadi amalan kita kepada demokrat liberal,” katanya.

Beliau berkata demikian malam tadi menerusi slot ‘Dari Parlimen’ selaku Ketua WHIP BN yang mengupas isu-isu dari Parlimen di Facebook UMNO, https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

“Di zaman BN memerintah, kumpulan yang dipanggil LGBT ini sudah wujud tapi tidak ada perkataan penghinaan, tidak ada perkataan seksaan, tidak ada perkataan mengenepikan untuk kumpulan ini kerana mereka boleh hidup sama seperti yang lain namun dalam bentuk yang tidak ada pendedahan pada masyarakat, dia ada kumpulan dia…, tapi hari ini 10 bulan kerajaan PH memerintah nama LGBT sendiri di ‘expose’kan malah kesempatan pada Hari Wanita diguna.

“Kita lihat tindakan kerajaan PH terhadap perapara itu sedangkan Tan Sri Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri pun menyebut bahawa perarakan Hari Wanita tidak ada kebenaran pihak berkuasa (permit).

“Ketua Polis Negara menyebut kertas siasatan dibuka untuk memanggil orang-orang yag terlibat dalam perarakan sedangkan pada masa sama ada dikalangan ahli politik PH sangat lantang menyuarakan pandangan supaya tindakan tidak diambil pada penganjur program, ada ahli Parlimen PH yang bermakna ahli Parlimen kerajaan, Menteri yang cakap adalah menteri PH jadi kita sudah menjadi keliru sebab rakyat minta ambil tindakan.”

Ujar beliau, ada Ahli Parlimen dari PH suruh jangan ambil tindakan dan hentikan siasatan, dan ada juga ahli Parlimen PH bercakap LGBT tidak boleh diterima oleh masyarakat, jadi masyarakat keliru.

“Ada ahli Parlimen kerajaan tak sokong dan ada yang sokong sedangkan kerajaan sendiri patut ambil tindakan sebab LGBT secara khususnya tidak diterima dalam norma masyarakat Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.