Selepas Pantun, Annuar Tuju Seloka Dikir Barat Buat Jelutong


SEREMBAN, 21 Mac – Jika di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mencuit hati ahli dewan dengan pantun selokanya, secara sinis membidas Ahli Parlimen Jelutong, R.Rayer yang sering mencelah perbahasan tanpa mengikut peraturan dewan.

Malam tadi di ceramahnya bersama rakyat di Kampung Sendayan, di sini, Annuar berkongsi pula seloka dikirnya mengikut rima lagu popular dikir barat; ‘Anak Tupai’ yang diubahsuai liriknya, juga khusus ditujukan kepada Rayer.

“Ado sekor anok Jelutong, duduk daley dewey,
Dio suko duduk laung tok ikut peraturey,
Ambo maroh ambo balun, tapi dio tok pahey,
Ambo bidah dengey pantun, dio koho gerey.”

Turut hadir ke majlis mesra bersama pemimpin itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi dan juga wakil PAS Negeri Sembilan, Bazli.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kerjasama UMNO dan PAS menjadi bahan sindiran bagi pihak parti kerajaan Pakatan Harapan (PH) di dalam sidang Parlimen kerana mereka sedar akan kekuatan di pihak pembangkang.

Tidak ketinggalan juga Rayer yang selalu mengaitkan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung kerjasama UMNO dan PAS dengan mengatakan bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak bersetuju jika PAS menjalinkan permuafakatan dengan UMNO kerana ‘takut dipatuk ular’ sebanyak dua kali.

“Jelutong pun pandai sindir. Dulu dia kata ingat ke tidak pesan Tok Guru Nik Aziz janganlah PAS percaya kepada UMNO, sebab dia kata kalau percaya kepada UMNO nanti macam dipatuk ular buat kali kedua.

“Saya nak beritahu kepada Dap… UMNO dulu tu yang Tok Guru (Nik Aziz) tak beri kerjasama itu, itu UMNO yang Mahathir (Tun Mahathir Mohamad) jadi ketua. Sekarang Mahathir jadi ketua kamu,” tegas Annuar.

Tetapi jelasnya lagi, berbeza sekarang UMNO di bawah kendalian Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga menjalankan tugas-tugas presiden parti sedang membawa perubahan dengan corak politik yang baharu.

“Ini adalah UMNO yang baru. Kita mahu membina asas yang baru… perbaiki Barisan Nasional (BN) bentuk lama kepada bentuk baru.

“Barisan Nasional bersama dengan PAS sedang menyusun satu kerangka baru politik, kita sedang menyusun ‘team’ baru politik, kita sedang menyusun satu wadah baru politik. UMNO, PAS dan parti-parti bukan Melayu/Islam sedang kita susun,” tambahnya.

Untuk rekod, berikut merupakan petikan pantun yang dinukilkan oleh Annuar ketika membahas Usul Titah Diraja di Parlimen, Isnin lalu:

“Badan berbulu namanya lotong,
Tidak berakal walau berotak,
Tak malu ke bossku Jelutong,
Nampak pandai tapi tak bijak.”

“Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai,
Kalau tak mahu kena tempelak,
Berfikir biar berhemah bertutur biar pandai.”
MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.