Matlamat Tabung Haji Beri Kebajikan, Bukan Sukarkan Jemaah – Jamil Khir

ALOR SETAR 21 Mac – Matlamat asal Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) ialah untuk menjaga kebajikan jemaah dan pendeposit agensi tersebut, bukannya menyukarkan mereka.

Sehubungan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak meneruskan cadangan memotong bantuan atau subsidi jemaah haji.

Katanya, objektif penubuhan Tabung Haji yang telah berusia 56 tahun itu tidak pernah berubah di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) malah terus diperkukuhkan dalam menjaga dan membantu para jemaah.

“Berbekalkan tujuan dan matlamat Tabung Haji inilah institut ini terus berkembang dengan sokongan dan dokongan kerajaan serta rakyat khususnya umat Islam yang menjadi pendeposit Tabung Haji.

“Sejak mula, kita menumpukan kebajikan bermula dari negara ini terus ke Mekah, Madinah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Mekah sehingga kembali ke Malaysia, semua kebajikan para jemaah menjadi keutamaan selain dikenakan bayaran paling murah iaitu RM9,980 sahaja dengan selebihnya disubsidikan.

“Konsep subsidi ini boleh dijelmakan dengan jalinan kerajaan melalui peluang penjanaan kewangan, ekonomi yang diwujudkan kerajaan kepada Tabung Haji,” katanya di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan akan memperkenalkan konsep Istito’ah (kemampuan) bagi mengurangkan beban subsidi Tabung Haji ke atas para jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata, langkah itu juga dalam usaha mengurangkan bantuan daripada Tabung Haji.
Katanya, kemampuan adalah sebahagian syarat melakukan haji dari aspek kewangan.

Sementara itu, kata Jamil yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sememangnya menjadi hasrat rakyat ingin melihat Tabung Haji terus dipertahankan dan dijaga seperti dulu.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.