Beranikah Nga Kor Ming Sambut Cabaran Debat Noh Omar Tanpa Jubah Timbalan Speaker?


KUALA LUMPUR, 21 Mac – Cabaran Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar terhadap Nga Kor Ming untuk berdebat di luar Parlimen masih belum bersambut biarpun tindakan tersebut dibuat secara terbuka Selasa lalu.

“Saya nak cabar Nga Kor Ming tolong bersama dengan saya… saya sanggup datang untuk berdebat dengannya waktu dia tak pakai jubah, waktu dia tak pakai songkok, waktu dia bukan di dalam Dewan. Ayuh, pilih tempat dimana saya akan datang,” tegasnya yang melontarkan cabaran menerusi slot ‘Dari Parlimen’ yang membicarakan topik ‘Isu Taliban, Dap dan Penggantungan Noh Omar’ di Facebook UMNO, https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia, Selasa lalu.

Tegasnya, dengan sikap Nga dia tak layak untuk menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kalau dia cabar YB Pasir Salak untuk berbahas di luar (Dewan) sewaktu dia tak memakai jubah maka saya nak sambut cabaran Nga Kor Ming.

“Dia yang kata waktu berjubah tak boleh bercakap, berdebat dalam Dewan kerana dia Speaker, tak boleh terlibat dalam perbahasan.. kalau nak kat luar sedangkan sewaktu Jelutong sedang memberi perbahasan boleh dia mencelah memberi pendapat mengatakan pernah buat khatam beramai-ramai dan memberi bantuan orang buka puasa, nampak ‘double standard’.

“Saya nak cabar dia… saya boleh berdebat dengan dia bila-bila masa. Atas tajuk apa… atas tajuk yang gabungan UMNO dan PAS, yang dikata UMNO jadi kuda tunggangan PAS… PAS jadi kuda tunggangan UMNO atau apa sajalah yang dia rasa tak senang, tak selesa sampai dia kaitkan dengan Taliban.”

Isnin lalu, Noh telah melontarkan soalan kepada Nga Kor Ming dalam sesi di Parlimen meminta penjelasan; apakah benar Timbalan Speaker pernah membuat kenyataan mengatakan bahawa gabungan antara UMNO dan PAS akan mewujudkan kerajaan Taliban?

Soalan tersebut telah menimbulkan perdebatan apabila Nga enggan memberikan penjelasan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Noh namun keesokannya (Selasa), Nga menggantung Noh dari sidang Parlimen tanpa kehadirannya di dalam Dewan.

“Ayuh saya nak cabar dia berdebat dengan saya di luar Parlimen. Dalam Parlimen nanti saya kena gantung lagi sebab dia ada kuasa. Debat tanpa pakai jubah… dia sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan dan saya sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang… tentukan tarikh, saya akan datang untuk berdebat dengan beliau.”


Sebelum itu Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Rahman) juga bertanyakan soalan terbabit sebagaimana tertulis di dalam hansard namun Nga mencabar Pasir Salak berdebat di luar.

“Apabila kita bangkitkan dalam Parlimen dia menafikan, dia kata ya pun tidak… tidak pun tidak. Kalau betul dia tidak bercakap… nafikan, kalau dia tak nak nafikan… samanlah mana-mana media, dia pun boleh ambil tindakan undang-undang yang buat fitnah kepada dia, itu sahaja jawapan yang saya nak dari beliau,” katanya.

Katanya, tindakan Dap yang takut berkaitan kerjasama UMNO-PAS adalah kerana mereka ini bimbang hilang kuasa dan sebab takut kalah dalam pilihan raya.

“Sebab itu nak digembar-gemburkan kepada rakyat dengan secara sifat perkauman dia, dengan cara nak memecahkan lagi perpaduan Melayu. Kerja mereka nak memecah-belahkan perpaduan Melayu,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.