Jasa BN Terhadap Orang Asli Tidak Dapat Dilupakan, Kini Dibahu Kerajaan PH – Ramli


KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor hari ini melahirkan penghargaan jutaan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini atas jasa dan budi yang tidak terhingga dalam menjaga pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Beliau yang membuat penampilan sulung membahas titah diraja di Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah minggu lalu seterusnya berkata apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu terhadap masyarakat Orang Asli sememangnya tidak dapat dilupakan.

“Hanya Allah juga yang dapat membalas jasa tersebut. Jasa kerajaan BN dahulu tidak dapat dilupakan oleh masyarakat Orang Asli kerana ia memperkasakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan institusi Tok Batin, mengutamakan kemajuan pendidikan untuk masyarakat Orang Asli dan juga memperkasakan pasukan bersenjata senoi praaq lambang perjuangan dan kegagahan masyarakat Orang Asli. Begitu juga dalam sektor dan aspek ekonomi Orang Asli.

“Jika terdapat kelompongan atau kekurangan, menjadi tanggungjawab dan kewajipan kerajaan baharu hari ini untuk menyempurnakan dan melaksanakan agenda memajukan masyarakat Orang Asli dengan lebih gigih dan pencapaian hendaklah melebihi apa yang dicapai oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Meneruskan perbahasannya, beliau yang mewakili masyarakat Cameron Highlands khususnya Orang Asli Semenanjung Malaysia seterusnya berkata tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat berketurunan Orang Asli termaktub secara perundangan di bawah perkara 8(5)(C) Perlembagaan Malaysia dan ianya tidak boleh dikompromi,” katanya.

“Kerajaan negeri sama ada pembangkang ataupun diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menghadapi apa-apa masalah dalam isu kemelut tuntutan tanah oleh masyarakat Orang Asli sama ada di bawah subjek tuntutan tanah adat kerana undang-undang tinggi negara ada memberi ruang kepada kerajaan negeri berbuat demikian asalkan berpatutan.

“Pada pendapat saya adalah jelas semasa Perlembagaan Malaysia digubal, penggubal-penggubal telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli Semananjung iaitu wajib dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah tanpa dolak-dalik.

“Hatta, atas premis ini, JJAKOA yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ditubuhkan dan sebahagian jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dirizabkan untuk Orang Asli,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.