Kerajaan PH Digesa Henti ‘Iktiraf’ Lepasan UEC, Membelakangi Dasar Pendidikan


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk menghentikan pengambilan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP).

Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata tindakan KPM untuk membuka peluang kepada pelajar lepasan UEC bagi program ISMP ini jelas membelakangi Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memberi ‘pengiktirafan’ secara tidak langsung kepada peperiksaan UEC.

“Keilmuan Nasional berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula tawaran mengikuti ISMP bagi pelajar lepasan UEC ini memandangkan tidak ada keperluan mendesak serta menyebabkan sistem pendidikan kebangsaan menjadi huru-hara akibat dari ‘pengiktirafan secara tidak langsung’ pihak KPM ke atas peperiksaan UEC ini secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching semalam menerusi Twitter beliau telah memaklumkan tentang pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan UEC, semalam.

“Walaupun peluang tindakan pihak kerajaan PH ini sekadar meneruskan program kerajaan terdahulu yang memberi ruang kepada lepasan UEC untuk mengikuti program ISMP bagi pengkhususan untuk menjadi Guru Bahasa Cina sejak 2010, ianya hanya merupakan satu program ‘on-off’ dan tidak dijadikan dasar tetap kerajaan.”

Selain itu, katanya, keperluan untuk mengadakan tempoh satu tahun persediaan kepada pelajar UEC bagi mengambil kursus Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain disifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat berbanding mengambil terus pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMJK) yang sudah sedia mengikuti kurikulum kebangsaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.