Dap Amal Taktik Zaman Sekolah Tadika

KOTA BHARU 16 Mac – Pemuda UMNO menyifatkan pemimpin-pemimpin DAP mengamalkan ‘taktik zaman sekolah tadika’ apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kemarahan rakyat kemudian memohon maaf serta menarik balik apa yang dikatakannya.

Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, taktik cakap lepas dan tarik balik sudah tidak relevan untuk diterima rakyat negara ini yang sudah cerdik.

Beliau berkata, kenyataan celupar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Chew Chong Sin yang menggambarkan masa depan negara ini seteruk pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Christchurch, New Zealand seandainya diterajui UMNO dan Pas kelak tidak dapat diterima sama sekali biarpun beliau telah memohon maaf berkali-kali.

“Kenyataan liar sebegini bukanlah layak disebut oleh seorang wakil rakyat, lebih-lebih lagi di dalam negara yang majoriti rakyat beragama Islam. Taktik lepas cakap dan tarik balik ini tidak relevan untuk diterima oleh rakyat negara ini yang sudah cerdik. Sudah pukul, minta maaf, tarik balik. Ini taktik zaman sekolah tadika, budak-budak pun tahu!

“Keceluparan mulut pemimpin DAP ini sudah melampaui batas. Baru-baru ini, Lim Guan Eng ibaratkan kerjasama UMNO-Pas sebagai isyarat perang terhadap kaum bukan Melayu. Selepas itu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menggelarkan kerjasama parti Melayu-Islam seperti Taliban di Afghanistan.

“Jelas! Itulah pendirian DAP terhadap mana-mana kerjasama orang Melayu. Mereka nak lihat perpecahan kaum, dan akhirnya mereka lah yang untung. Melabel semua pihak dengan label Rasis, tapi hakikatnya mereka yang rasis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Saiful Adli berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas wajib mengambil tindakan ke atas pemimpim-pemimpin DAP tersebut kerana jelas mereka telah mempermainkan undang-undang negara.

“Saya cabar Peguam Negara jika benar-benar mahu perjuangkan ‘Rule of Law’, siasat semua kenyataan pemimpin-pemimpin DAP ini. Terang lagi bersuluh membakar api perkauman, menyentuh sentimen agama dan bakal mengundang perpecahan kaum.

“Di mana perginya Akta Hasutan? Di mana Seksyen 298A dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan? Sudah tentu ianya mustahil. Rule of Law hanyalah sebahagian dari Manifesto PH dan semestinya bukanlah kitab suci!,” katanya. – UTUSAN ONLINE