PH Ambil Jalan Mudah Untuk Pendapatan Negara, Sampai Bila Petronas Hendak Dijarah?


KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil jalan mudah dan simplistik untuk pendapatan negara dengan memerah Petronas umpama ‘lembu susu’ melalui pembayaran dividen berjumlah besar sehingga RM30 billion.

Katanya, sudahlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang efisyen dihapuskan kerana janji populis pilihan raya dan digantikan pula dengan cukai SST yang kini jelas meningkatkan harga barangan pengguna.

“Kini, dibawah PH, negara kembali kepada doktrin ‘selagi ada minyak, kita sedut’. Belanjawan 2019 mencatatkan peningkatan pendapatan dari sumber minyak dan gas termasuklah cukai petroleum, duti eksport, royalti minyak dan cukai pendapatan syarikat serta dividen petronas kembali mencecah 30.9% dari jumlah keseluruhan RM314.6 billion,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada jawapan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Parlimen Rabu lalu yang menunjukkan bahawa rizab minyak dan gas negara hanya dapat bertahan selama 10 tahun berdasarkan kadar pengeluaran semasa yang bermakna, sekiranya tiada penemuan telaga minyak dan gas baru, Malaysia bakal kehilangan sumber pendapatan utama bagi Perbendaharaan Negara.

“Tahun 2019 ini sahaja, sejumlah RM30 billion tambahan diperah dari kantung Petronas bagi membiayai Belanjawan 2019 termasuklah bayaran kembali GST dan Cukai Pendapatan kepada pembayar cukai.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepaslah yang lebih awal peka akan risiko dan ketidaklestarian Perbendaharaan negara sekiranya kebergantungan terhadap sumber minyak dan gas tidak dikurangkan.”

Sebab itu katanya, BN melaksanakan dasar mempelbagaikan sumber pendapatan negara yang bukan lagi sebuah pilihan tetapi satu keperluan jangkamasa panjang untuk kesinambungan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Pengenalan GST pada kadar 6% adalah polisi tidak popular tetapi langkah yang perlu bagi negara dan rakyat. Melalui cukai GST, Malaysia berjaya menurunkan peratusan sumber pendapatan minyak dan gas dari purata 30% kepada hanya 14.6%.

“Cukai GST juga diakui oleh pakar percukaian sebagai cukai paling efisyen dan telus. Keberanian Malaysia untuk memperkenal cukai ini dipuji oleh badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta agensi penarafan kredit seperti Fitch, Moody’s dan Standard & Poors,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.