Darurat Bencana Bukan Seperti Darurat Perang… Warga Pasir Gudang Kini Sengsara


KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas Kerajaan Negeri Johor terlalu lambat bertindak walhal kes telah dilaporkan lebih tujuh hari lalu.

Menurutnya yang memetik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian bahawa insiden ini bukanlah isu yang besar serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail bahawa tiada keperluan bagi pengisytiharan Darurat Bencana, seharusnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) memahami kesengsaraan rakyat di Pasir Gudang.

“Suka diingatkan di sini dingatkan bahawa sehingga kini seramai lebih dua ribu mangsa yang terlibat dan angkanya dikhuatiri meningkat bilamana kerja-kerja pembersihan giat dilakukan kerana sifat gas ‘Cyanide’ ini selain tiada bau dan warna (odourless and colorless) dikatakan juga jisimnya lebih ringan dari udara dan amat mudah tersebar. Pencemaran kini berada dalam jajaran 15km radius pada lokasi pusat bencana.

“Ayuh kerajaan, isytiharkan segera Darurat Bencana dan berikan mandat kepada agensi-agensi mahir seperti Jabatan Bomba (HAZMAT), Rejimen Askar Jurutera DiRaja (Kimia, Biologikal, Nuklear), Pakar-pakar Jabatan Kimia (Chemist), Jabatan Alam Sekitar dan agensi keselamatan lain dalam melaksanakan tugasan dan arahan serta makluman berkenaan langkah-langkah pencegahan yang lebih sistematik tanpa karenah birokrasi mahupun terikat pada arahan politik.

“Darurat Bencana bukanlah sepertimana Darurat Perang. Mana mungkin seorang ketua kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan perintah berkurung kepada penduduk agar sentiasa berada di dalam rumah yang tertutup dan berkunci bagi mengelak terhidu gas beracun?,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Shahrir turut menegaskan bahawa keselamatan dan nyawa rakyat Pasir Gudang lebih utama daripada implikasi kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Kasihanilah pada anak-anak kita dan warga emas, tubuh badan mereka tidak berupaya menahan implikasi kesan pencemaran itu. Tolonglah ambil serius, wahai kerajaan PH,” desaknya lagi.

Tambah bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga, bencana pencemaran sisa toksik seperti ini mungkin adalah insiden yang pertama berlaku dalam sejarah Malaysia.

“Ianya tidak sama sepertimana bencana banjir mahupun pencemaran udara akibat jerebu, tambahan pula kerajaan PH seolah hilang arah dan tenggelam punca dalam menangani bencana seperti ini,” ujarnya.

Shahrir turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak turun membantu kepada mangsa-mangsa yang terbabit.

“Semalam Pergerakan Pemuda UMNO Johor telah mengambil langkah pro aktif dengan melakukan lawatan sambil menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa pencemaran sisa kimia toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang itu.

“Seperti biasa selain agensi-agensi terlibat yang bertungkus-lumus, turut kelihatan juga unit amal Dewan Pemuda dan Briged Muslimat PAS Johor turut sama-sama membentuk pasukan sukarelawan dalam memberi khidmat sokongan kepada mangsa terlibat yang mana saya dimaklumkan setiap lima ke sepuluh minit kenderaan ambulan sibuk keluar dan masuk membawa mangsa ke Pusat Kawalan,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.