Adakah Ahli Parlimen Jelutong Sengaja Dibiarkan Lempar Cerita Palsu Dan Bersikap Tidak Profesional?


KUALA LUMPUR, 15 Mac – Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Pulau Pinang membidas sikap ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji yang tidak profesional di dalam Dewan Rakyat.

Kata Setiausahanya, Mathis Sarawanan, tindakan Rayer yang sering mengganggu perbahasan lain-lain ahli Parlimen termasuklah mengungkit perkara-perkara selain yang dibincangkan adalah satu tindakan yang amat tidak profesional terutama mengenai isu-isu yang tidak sahih.

“Malah tidak kurang juga peristiwa di mana beliau bertindak mengelirukan Dewan dengan isu-isu yang tidak betul dan sahih.

“Misalnya baru-baru ini beliau berkata bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) tak pernah salurkan sebarang peruntukan bagi Kompleks Nasyrul Quran sedangkan kompleks itu sendiri bina siap pada tahun 2017 dengan nilai RM 60 juta oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dalam ucapan yang sama juga beliau berkata bahawa Kerajaan BN sebelum ini mengabaikan kebajikan Orang Asal Cameron Highlands kerana gagal membina sekolah dan pusat kesihatan serta sebagainya di kawasan Pos Sinderut. Peliknya, semakan kami mendapati tudahan itu tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Untuk rekod, Sekolah Kebangsaan Sinderut, Klinik Desa Pos Sinderut serta banyak lagi kemudahan asas telah dibina ketika BN menjadi kerajaan dan termasuklah juga satu projek bekalan air bersih yang bernilai RM 11 juta pada 2015.

Sikap yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen Dap itu bukanlah kali pertama berlaku, tegas Exco BNYV Pusat itu lagi.

“Ketika sidang lalu, Rayer juga telah bertindak untuk mengelirukan Dewan serta Datuk Speaker sehingga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands diminta keluar dari Dewan, sedangkan Datuk Sivarraajh Chandran ketika itu masih menjadi Ahli Parlimen sah Cameron Highlands.

“Perkara ini terbukti apabila Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan untuk menerima balik Datuk Sivarraajh ke Dewan Rakyat.

“Kami pun pelik bagaimana Rayer boleh terus menyatakan perkara-perkara yang tidak benar dalam Dewan,” tambahnya lagi.

Justeru bidasnya, sikap dan tindakan Rayer langsung tidak mencerminkan kedudukan dan imej sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Malah, ia turut seolah-seolah menjatuhkan martabat Dewan Rakyat. Parlimen seharusnya menjadi ruang kepada wakil-wakil rakyat membincang hal-hal serta dasar-dasar yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan bukannya platform drama-drama politik yang tak berkaitan.

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Beliau telah bertindak sedemikian bermula dari hari pertama di Parlimen. Beliau harus berhenti dari terus bertindak seperti ini dan menghormati kedudukan Dewan Rakyat,” tegasnya lagi.

Oleh yang sedemikian katanya, BNYV Pulau Pinang mendesak Rayer bertindak secara profesional serta tidak lagi mengulangi sikap sikap ‘terkinja-kinja’ di Dewan Rakyat.

“Kami sebagai sebuah gerakan anak muda dari Pulau Pinang berasa malu dengan tindakan ini dari beliau yang turut merupakan seorang ahli Parlimen dari Pulau Pinang,” katanya. – MediaUMNO