Pencemaran Sungai Kim Kim: Puteri UMNO Kesal Dan Bimbang


KOTA BHARU 14 Mac – Puteri UMNO melahirkan rasa kesal dan bimbang terhadap penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa kes pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor disebabkan kelewatan kerajaan untuk bertindak.

Naib Ketuanya, Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, justeru, pihaknya menggesa kerajaan supaya bertindak segera menangani pencemaran itu daripada terus merebak dan mengancam nyawa penduduk.

Beliau berkata, kerajaan juga diminta supaya menyegerakan siasatan terhadap insiden ini dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan secepat yang mungkin.

“Kami juga melahirkan rasa dukacita terhadap sikap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik apabila meminta sekolah dibuka semula secara tergesa-gesa tanpa memerikasa keselamatan guru dan murid-murid.

“Sepatutnya beliau mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memberi jaminan bahawa sekolah itu benar benar selamat sebelum mengarahkan sekolah itu dibuka semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kes pencemaran toksid itu semakin kritikal apabila jumlah mangsa meningkat kepada lebih 1,000 orang.

Bagaimanapun Nurul Amal berkata, pihaknya menyedari bahawa isu ini tidak boleh dijadikan modal politik untuk keuntungan mana-mana parti dan tiada masa untuk saling menuding jari.

“Kita bersedia untuk memberi sokongan psikologi kepada ibu bapa mangsa yang terlibat serta bersedia untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bersama-sama dengan guru dan masyarakat setempat setelah pencemaran ini ditangani.

“Puteri UMNO mendoakan agar murid-murid yang menjadi mangsa dalam insiden malang ini berjaya disembuhkan dan mengharapkan agar para ibu bapa tabah menghadapi ujian ini serta mengikuti nasihat pihak berkuasa untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.