Malaysia Sekali Lagi Jadi Perhatian Dunia, Terkapai-kapai Tangani Pencemaran Sisa Toksik


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Nama Malaysia, sekali lagi terkenal negatif di media antarabangsa, berikutan kes pembuangan toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, yang mengakibatkan hampir 1,000 orang, majoriti pelajar diberi rawatan termasuk rawatan sakit kritikal.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat kejadian di Sungai Kim Kim menjadi penanda aras, apakah kita masih terkapai-kapai menguruskan tragedi akibat gas beracun, sedangkan banyak pelaburan sudah dibuat termasuk menghantar anggota penyelamat menjalani latihan di luar negara.

“Kita yakin keupayaan anggota penyelamat dan perubatan kita setaraf dengan kemahiran pasukan penyelamat di negara maju lain di dunia, tetapi mereka dalam pasukan penyelamat memerlukan arahan jelas, pantas dan tegas dari menteri kabinet atau Exco Kerajaan Negeri bagi membuat keputusan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, selepas ‘terpopular’ dengan isu sijil palsu menteri dan anggota kabinet, kini dunia sekali lagi melihat bagaimana kerajaan Malaysia Baharu mengurus bencana yang puncanya disebabkan kelemahan pihak berkuasa menangani pembuangan bahan toksik.

“Dunia sedang memerhatikan langkah seterusnya yang akan kita ambil. Tragedi ini bukan satu tragedi kecil dan ia boleh menjadi lebih meluas kerana tiupan angin yang membawa partikel toksik. Bagaimana kepimpinan di negeri di mana kejadian ini berlaku masih boleh menganggap ia dalam keadaan terkawal?

“Apakah pelan tindakan seterusnya? Selamatkah lagi kawasan sekitar Sungai Kim Kim itu untuk didiami? Benarkah penduduk yang menutup pintu atau tingkap itu dijamin selamat? Berapa lamakah mangsa tragedi ini akan terpaksa duduk di hospital? Moga Allah melindungi anak anak dan penduduk Pasir Gudang ini.”

Jelasnya, berita tragedi Sungai Kim Kim ini, menjadi berita nombor empat paling popular dibaca di akhbar The Guardian, UK selepas berita tragedi pesawat Ethiopian Arlines terhempas sementara di akhbar akhbar South China Morning Post (HongKong), Bangkok Post dan The Straits Times (Singapore), berita tragedi itu diletak sebagai berita utama.

“Kita percaya banyak media cetak dan online lain turut memberi fokus utama kepada tragedi ini. Isu yang harus diteliti di sini adalah, bagaimana langkah kerajaan menangani krisis ini dari mengelakkan ia menjadi ‘bad publicity’ kepada Malaysia?

“Daripada ia hanya sebagai berita kemalangan biasa apabila beberapa pelajar diberi rawatan, ia bertukar menjadi bola api yang besar kerana ‘crisis management’ tidak ditangani dengan baik, terutamanya dari aspek media briefing.”

Terang beliau, laporan media bahawa lebih 900 orang menjadi mangsa terhidu gas beracun, lebih 100 sekolah serta premis terpaksa ditutup dan sebagainya, tidak akan menjadi tajuk utama media antarabangsa, sekiranya kerajaan Johor dan Pusat, pantas menilai skala imej negatif besar yang bakal terhasil daripada insiden ini.

“Seperti kata Jabatan Bomba dan Penyelamat, kenapakah puluhan tong buangan sisa toksik itu, tidak diuruskan dengan baik daripada awal? Kenapa ia dibiarkan bersepah sepah? Apakah kita masih di takuk pemikiran lama, selepas berlaku sesuatu yang buruk, baharulah nak ditubuh jawatankuasa atau diambil tindakan?

“Seperkara lagi, kenapa hanya selepas satu minggu berlaku tragedi ini, yang asalnya hanya 35 orang dikejarkan ke hospital untuk rawatan, baru lah kerajaan bertindak mengeluarkan arahan menutup sekolah ?

“Kenyataan pimpinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta kemusykilan ramai ahli parlimen, termasuk saya dan Ahli Parlimen Pontian, mengenai kelemahan SOP tindakan pasukan Krisis Bencana Negeri Johor dan Negara, tidak wajar diambil ringan, kerana ia membabitkan nyawa ribuan manusia,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.