GERAM Bidas Kecuaian MB Dan Kerajaan Negeri Johor Tangani Krisis Sisa Toksik

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Sekretariat Gerakan NGO NGO Bergabung Malaysia (GERAM), membidas kegagalan Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Osman Sapian dan kerajaan negeri terbabit yang dianggap cuai menangani isu pencemaran toksik di Pasir Gudang sehingga ia merebak dan melarat.

Jurucakapnya, Datuk Kamaruddin Ahmad selaku Pengerusi Biro Undang-undang dan Perlembagaan dari Kelab Sahabat N87 berkata sekiranya kerajaan Negeri Johor bertindak pantas membersihkan sisa toksik pada hari kedua ia dikesan maka tentu tidak akan seteruk hari ini.

“Saya dengar baru pagi ini diluluskan bajet RM6.4 juta  untuk pembersihan sungai daripada bahan sisa-sisa toksik. Kalau dah dilakukan kerja-kerja ini pada hari kedua tentu mangsa tidak akan merebak ke jumlah yang tinggi… jadi apa yang berlaku ini adalah kerana  kecuaian.

“Penduduk di situ telah membuat aduan bahawa ada kerja-kerja pembuangan sisa-sisa kilang di situ tapi tak ada langkah-langkah diambil.

“Sepatutnya, dengan adanya lebih kurang 200 kilang kimia di daerah Pasir Gudang, kerajaan negeri dah melaksanakan satu protokol kepada kilang-kilang itu tapi tidak ada langkah-langkah keselamatan seperti memasang pagar di tempat pembuangan sisa-sisa toksik, juga tak ada notis amaran kepada mereka yang  membuang sisa sampah ke sungai itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini di sini.

Maklum beliau, mengikut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPAM), andai kata kerajaan Negeri Johor telah melakukan tindakan lebih awal maka tak wujud keadaan yang boleh dianggap sebagai darurat.

“Apa yang telah dikatakan oleh MB Johor…, dia tak ambil ini sebagai satu darurat tapi cakap tutup pintu, tutup tingkap jangan bagi gas masuk sedangkan ini bukanlah satu langkah yang bijak bagi seorang ketua eksekutif negeri.

“Kecuaian lagi sebab kita lihat penduduk di situ tidak dipindahkan, sekurang-kurangnya yang berhampiran dengan sungai yang telah tercemar.”

Katanya, apabila berlaku kecederaan yang amat serius kepada kanak-kanak dan pelajar hingga ada yang muntah dan koma, ini boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah kanun keseksaan.

“Walaupun tidak ada niat membunuh tapi perbuatan membuang sisa toksik di kawasan berhampiran sekolah boleh mendatangkan kecederaan dan menyebabkan kematian, maka ini sudah mencukupi dan boleh mendakwa kerajaan negeri dan MB di mahkamah di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaaan.”

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Pasir Gudang menyaman MB dan Kerajaan Negeri Johor atas kecuaian yang telah mereka lakukan terhadap rakyat.

Dalam perkembangan yang lain, NGO terbabit turut melahirkan rasa kesal atas tindakan kerajaan yang tidak mengikut Perlembagaan negara apabila menandatangani perjanjian ‘Statute Rome’.

Anggota NGO, Baharuddin Taha menjelaskan bahawa perjanjian Statute Rome ini adalah suatu undang-undang dunia di bawah United Nation (UN) yang akan memberikan implikasi cukup merugikan kepada rakyat.

“Adakah ini ada suatu agenda kerajaan baru?

“Statute Rome ini mengurangkan dan membatalkan imuniti Ketua Negara dan kekebalan raja–raja Melayu.

“Kenapa kabinet tidak merujuk kepada Majlis-majlis Raja Melayu?” soalnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.