Sidang Dewan Rakyat Terus Gamat Dengan Sikap Tidak Profesional Jelutong


KUALA LUMPUR, 13 Mac – Seperti persidangan Parlimen sebelum ini, minggu pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 kembali kecoh dengan sikap tidak profesional Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer.

Rayer yang terkenal dengan ‘mulut celupar’ di Parlimen, hari ini berang apabila Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaitkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan isu skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ismail dalam ucapan Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong, memohon penjelasan daripada Guan Eng berkaitan artikel yang ditulis oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa tentang penglibatan Guan Eng dalam isu skandal terowong dasar laut tersebut bernilai ratusan juta ringgit wang rakyat.

Rayer mula berang apabila Ismail enggan menarik balik dakwaan tersebut dan mencabar Ismail untuk mengulangi dakwaan itu di luar Dewan.

“Saya minta Ketua Pembangkang tarik balik dan sebut balik apa yang kamu cakap ini di luar Dewan. Kalau berani, cakap di luar. Ini adalah sangkaan jahat sebenarnya, siapa Raja Petra ini sebenarnya? Jangan jadi modal politik,” kata Rayer.

Bagaimanapun, Ismail mempertahankan kenyataannya sambil berkata, beliau sekadar membaca perenggan petikan daripada blog tersebut dan mahukan penjelasan daripada Guan Eng apabila berada dalam Dewan kelak.

“Sabarlah, saya belum habis lagi. Saya hanya baca petikan. Saya tidak habis lagi. Sabar dulu Jelutong,” kata Ismail Sabri.

Sikap Rayer yang terus membuat kacau itu menyebabkan blok pembangkang tidak berpuas hati kerana semalam pimpinan PH juga menggunakan petikan media menuduh pimpinan PAS terlibat dengan rasuah walaupun tiada bukti.

Apabila Dewan terus gamat, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof akhirnya meminta perkara itu tidak disebutkan lagi dan mengarahkan Ismail Sabri meneruskan ucapan namun tindakan Mohamad Ariff itu menyebabkan Rayer tidak berpuas hati.

“Saya cabar Bera untuk cakap balik di luar Dewan. Yang Berhormat Speaker tidak boleh benarkan yang berada di sebelah sana (pembangkang) berterusan mengeluarkan tuduhan-tuduhan seperti ini pada masa hadapan,” desak Rayer.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff sudah membuat ‘ruling’ dan meminta Ketua Pembangkang untuk menyambung hujah beliau yang tinggal beberapa minit sahaja lagi.

“Ruling saya kekal, perkara ini (terowong dasar laut) tidak boleh dibangkitkan selagi tidak ada bukti dan fakta selepas ini,” tegas Mohamad Ariff.

Melihat sikap Rayer yang masih tidak berpuas hati, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bangkit dan mengingatkan bagaimana sebelum-sebelum ini, beberapa isu seperti 1MDB dipalitkan dengan bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak seringkali dirujuk menggunakan media seperti Sarawak Report.

“Sebelum ini boleh sahaja gunakan jurnal-jurnal dan laporan blog serta media mengaitkan pelbagai skandal tanpa bukti serta fakta, boleh sahaja. Saya mohon kebebasan bersuara untuk semua pihak,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.