Perjanjian Statute Rome : Kerajaan Diminta Beri Penjelasan, Apa Tujuan Dan Matlamat?


KUALA LUMPUR, 12 Mac – Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian Rome Statute adalah suatu tindakan yang terburu-buru dengan pertimbangan yang tidak munasabah.

Bidasnya juga, pada masa yang sama kerajaan telah gagal untuk menerangkan kepada umum apakah tujuan dan matlamat utama Malaysia menandatangani perjanjian tersebut.

Menurut beliau antara intipati penting perjanjian tersebut adalah berkaitan Artikel yang memperuntukkan bahawa “kekebalan atau peraturan-peraturan khas yang terpakai bagi seseorang semasa menyandang jawatan rasminya di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa tidak boleh menghalang Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) daripada melaksanakan bidang kuasanya ke atas orang sedemikian”.

“Ini secara tidak langsung menyentuh kekebalan Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub di bawah Perkara 32 (1), Perkara 181(2), Perkara 182 dan Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian Rome Statute akan memberikan kuasa kepada ICC bagi membicarakan Yang Dipertuan Agong sebagai Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia jika berlaku kes-kes di dalam bidang kuasanya. Secara tidak langsung perjanjian ini adalah campur tangan luar terhadap Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sekaligus mengancam kedaulatan institusi tersebut.

“Pemuda Johor berpendirian bahawa kerajaan harus berbincang dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menandatangani perjanjian tersebut terutamanya bagi perkara yang melibatkan kesan besar terhadap institusi monarki, namun ternyata kerajaan telah gagal melakukan sedemikian sebaliknya membelakangkan institusi raja-raja.

“Sebagai bukti perjanjian ini diputuskan oleh kerajaan pada 12 Disember 2018 lalu dan Menteri Luar hanya mengadap Yang Dipertuan Agong memaklumkan keputusan tersebut pada 15 Februari yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah Mohd Hairi lagi, negara juga tiada keperluan segera dan terburu-buru dalam menandatangani perjanjian tersebut.

“Pemuda UMNO Johor juga berpandangan bahawa Malaysia tidak mempunyai keperluan segera dan terburu-buru untuk menandatangani Rome Statute kerana di bawah Artikel 12(3) perjanjian tersebut membenarkan mana-mana negara bukan ahli untuk mengizinkan ICC melaksanakan bidang kuasanya ke atas sesuatu kesalahan yang berlaku di negara mereka.

“Contohnya jika berlaku jenayah perang di Johor, kerajaan Malaysia boleh membenarkan ICC membicarakan pihak terlibat walaupun Malaysia tidak menandatangani Rome Statute,” ujarnya.

Malah menurut beliau lagi menjadi tanda tanya mengapa negara kuasa-kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Russia yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan bukan merupakan negara ahli Rome Statute dan negara-negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura juga didapati bukan ahli, maka mengapa Malaysia terlalu bersungguh untuk menandatanganinya.

“Maka apa yang dipersoalkan oleh TMJ (Tengku Mahkota Johor) adalah wajar dan beliau berhak mempersoalkan tindakan kerajaan. Kegagalan untuk memberi penjelasan dan mendapatkan konsultansi umum dari rakyat dilihat sebagai perbuatan khianat terhadap kepercayaan diberikan kepada kerajaan untuk memimpin negara.

“Sebagai Bangsa Johor, Pemuda UMNO Johor juga kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan TMJ seolah-olah tidak layak menyuarakan pandangan mengenai keputusan Kerajaan kerana beliau bukan seorang Wakil Rakyat.

“Bagaimana seorang pemimpin yang diangkat oleh rakyat menidakkan suara anak kepada Sultan yang mahu membela dan tidak jemu menjaga kebajikan rakyat jelatanya. Mana suara ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam isu ini? Tidakkah Ketuanya anak jati Johor dan hanya diam membisu sahaja,” soalnya.

Justeru itu, Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan segera tampil memberi penjelasan kerana rakyat berhak mengetahui perkara tersebut, tegas Mohd Hairi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.