Titah Agong Agar Hormati Perlembagaan Dan Kedudukan Agama Islam, Tepat Pada Masa – Noraini


KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini yang menegaskan agar semua pihak harus menghormati keluruhan Perlembagaan yang secara khusus berkait mengenai kedudukan agama Islam amat bertepatan sekali memandangkan sekarang ini seakan menjadi ‘trend’ bila ada sahaja pihak cuba memperlekeh Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, ini menunjukkan bahawa kelakuan tidak bermoral ini sebegini harus ditangani secara serius agar ia tidak mengganggu-gugat keharmonian negara yang terdiri dari masyarakat majmuk, berbilang agama dan kaum.

“Titah Baginda agar semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus dipandang serius malah Baginda juga mahukan tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

“Maka ini adalah satu peringatan kepada mereka yang cuba menghina agama Islam mahupun agama lain dan kerajaan juga harus mengambil tindakan tegas agar apa yang berlaku sekarang ini dapat ditangani dengan baik,” ujar beliau kepada UMNO-Online mengulas titah ucapan Baginda, di Parlimen, hari ini.

Sejak kebelakangan ini semakin ramai yang berani mempertikaikan agama Islam malah ada yang lebih berani menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Perkara sebegini menyebabkan umat Islam yang merupakan bangsa majoriti di negara ini terguris hati dan menuntut pihak berkuasa bertindak segera.

Untuk rekod, Baginda turut bertitah agar agensi-agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang kerana sungguhpun kerajaan meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan itu dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang serta norma kehidupan masyarakat.

“Menyentuh berkenaan pengaruh media, terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Agensi-agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah baginda. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.